News & Articles Bank Islam beri moratorium, kemudahan bersasar kepada 350,000 pelanggan, RM37.9 bilion
Bank Islam beri moratorium, kemudahan bersasar kepada 350,000 pelanggan, RM37.9 bilion
KUALA LUMPUR: Kira-kira 350,000 pelanggan individu dan perniagaan Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) yang terjejas akibat COVID-19 telah menerima kemudahan bantuan balik pembiayaan membabitkan baki anggaran pembiayaan pelanggan berjumlah kira-kira RM37.9 bilion dari 1 April hingga 31 Disember tahun lalu.
Bank Islam dalam satu kenyataan, berkata antara sokongan yang diberikan institusi perbankan adalah bantuan moratorium selama enam bulan dari April hingga September 2020, yang kemudiannya menjadi Program Prihatin Bersasar, khusus untuk pelanggan yang kehilangan pekerjaan serta mengalami pengurangan pendapatan.
"Pada November 2020, Bank Islam telah mengumumkan penambahbaikan kepada Program Prihatin Bersasar merangkumi golongan B40, M40 dan perusahaan mikro yang terkesan ekoran pandemik ini.
"Bagi terus mengurangkan bebanan kewangan pelanggan, pihak bank juga menyediakan pilihan Penjadualan dan Penstrukturan Semula Pembiayaan untuk pelanggan yang tidak mengalami kehilangan atau pengurangan punca pendapatan tetapi mempunyai keperluan untuk menyusun semula kewangan mereka," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata sejak pelaksanaan Program Prihatin Bersasar pada Oktober 2020, hampir 24,000 permohonan dengan amaun baki pembiayaan berjumlah melebihi RM3 bilion telah diluluskan di bawah program berkenaan.
"Sebagai sebuah bank yang bertanggungjawab, kami membantu pelanggan untuk menguruskan tuntutan kewangan mereka, terutama pada waktu yang mencabar ini.
"Bank Islam telah berkomunikasi secara konsisten dengan para pelanggan untuk menyediakan sokongan yang mereka perlukan. Kami kekal komited membantu pelanggan mendepani tempoh sukar ini," katanya.
Mohd Muazzam berkata, Bank Islam amat menitikberatkan usaha yang bertujuan untuk memelihara kebajikan pelanggan serta perniagaan, dan pada masa sama turut memainkan peranan untuk menyokong pemulihan ekonomi negara.
"Bank sentiasa bersedia untuk menerima permohonan pelanggan. Kami menyeru agar pelanggan tampil dan menghubungi kami untuk mendapatkan penyelesaian kewangan terbaik yang disediakan," katanya.
Bagi memenuhi keperluan perbankan pelanggan, Bank Islam memberi jaminan bahawa perkhidmatan perbankan berterusan boleh dinikmati melalui platform perbankan mudah alih dan dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sebagai alternatif, pelanggan boleh menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di 03- 26 900 900 atau mengimbas Kod QR bagi memohon bantuan pembayaran balik pasca moratorium Bank Islam.
Bantuan pembayaran semula pembiayaan itu disediakan sehingga 30 Jun 2021.
Source: Bharian.com.my
Latest Posts
-
Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil
-
Pasaran rumah stabil sepanjang 2024
-
Sunway Property unveils Serene Villas project
-
MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion
-
New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor