News & Articles Sunway beli tanah di Cheras dengan harga RM42 juta
Sunway beli tanah di Cheras dengan harga RM42 juta
2 Feb 2021
KUALA LUMPUR, 1 Feb -- Anak syarikat milik penuh Sunway Bhd, Sunway Kinrara Sdn Bhd hari ini memeterai perjanjian jual dan beli dengan CTM Development Sdn Bhd untuk membeli tanah pegangan kekal seluas 1.35 hektar di Cheras, di sini, dengan harga RM42 juta.
Sunway Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata tanah pegangan kekal utama di kawasan Taman Mutiara, Kuala Lumpur itu dibeli bagi pembangunan rumah bandar dan kondominium dengan mempertimbangkan gaya hidup norma baharu.
Syarikat itu berkata tanah tersebut dibeli dengan perintah pembangunan yang diluluskan, yang akan mempercepat kadar pembangunan.
Pembangunan itu bakal dilancarkan pada separuh pertama 2020 dan dijangka siap pada 2026, yang akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan Sunway bermula 2022.
Mengulas mengenai pembelian itu, Pengarah Urusan Sunway Property Sarena Cheah cadangan pembangunan itu akan dapat menampung peningkatan permintaan terhadap ruang tinggal yang lebih besar memandang kini lebih banyak aktiviti dilakukan di rumah sebagai sebahagian daripada normal baharu termasuk bekerja dari rumah.
“Kami merancang membangunkan pembangunan kediaman eksklusif terdiri daripada 255 unit rumah bandar dan kondominium dengan kawasan binaan yang besar sedikit untuk disesuaikan dengan gaya hidup normal baharu.
"Kami menjangkakan harga bermula daripada kira-kira RM650 bagi satu kaki persegi yang mana akan kompetitif memandangkan kepadatan rendah, tempoh pegangan kekal dan lokasi strategik di tengah-tengah Cheras,” katanya.
Ia merupakan pembelian simpanan tanah pertama Sunway Property bagi tahun ini dan mencerminkan keyakinannya pasaran hartanah akan pulih pada 2021 selepas pertumbuhn perlahan pada 2020 akibat pandemik.