KUALA LUMPUR: Westports Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM654.49 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2020 berbanding RM590.89 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Perolehan menokok kepada RM1.97 bilion semasa tahun yang dikaji daripada RM1.78 bilion sebelum ini, menurut syarikat kargo itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Perolehan yang lebih tinggi itu adalah daripada segmen kontena dan aktiviti pembinaan termasuk kerja-kerja pembangunan jeti pukal cecair baharu dan limbungan kontena baharu zon Z di Kontena Terminal 9 di Hong Kong.
Westports berkata, ia mengendalikan truput kontena yang lebih rendah sebanyak 10.5 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pada 2020 berikutan jumlah pemindahan (ke kapal) telah terjejas akibat pelbagai bentuk sekatan perjalanan di seluruh dunia untuk mengawal penularan pandemik COVID-19.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Ruben Emir Gnanalingam, berkata untuk suku keempat sahaja, truput kontena adalah 2.8 juta TEU.
"Penggunaan limbungan kontena melebihi purata ini dan kesesakan limbungan pada suku keempat 2020 bukan sahaja menjejaskan Westports, malah, banyak pelabuhan di seluruh dunia.
"Rantaian bekalan global membuat penyesuaian ke atas pelbagai faktor seperti permintaan pengguna yang lebih tinggi bagi barangan kontena di negara-negara barat, sekatan perjalanan di pelbagai lokasi di seluruh dunia pada masa yang berbeza dan rantaian bekalan global yang sebahagiannya diuruskan oleh mereka yang melaksanakan langkah pencegahan COVID-19," katanya.
Beliau berkata, kesan langsung dan sekunder COVID-19 dijangka dirasai pada 2021, meskipun peningkatan langkah pemvaksinan yang dilaksanakan secara berperingkat.