News & Articles Harga minyak mentah Brent naik atas paras AS$63

Harga minyak mentah Brent naik atas paras AS$63


16 Feb 2021
Harga minyak mentah Brent naik atas paras AS$63
SINGAPURA: Harga minyak Brent meningkat dalam dagangan Asia selepas ditutup pada paras rekod tertinggi dalam tempoh lebih setahun berikutan gangguan elektrik susulan cuaca sejuk di Texas menjejaskan aliran pengeluaran syal terbesar Amerika Syarikat (AS).

Niaga hadapan di London didagangkan melepasi AS$63 setong selepas meningkat 1.4 peratus pada Isnin.

Bekalan elektrik terpadam secara meluas ke bahagian tengah AS melumpuhkan grid elektrik Texas.

Beberapa kilang penapisan terbesar Amerika Utara ditutup pada Isnin, dengan kapasiti pemprosesan lebih tiga juta tong minyak setiap hari tidak beroperasi, demikian mengikut perunding Energy Aspects Ltd.

Ia adalah yang terkini dalam siri rangkaian cuaca sejuk yang telah memberikan peningkatan yang lebih besar daripada yang dijangkakan untuk penggunaan minyak tahun ini.

Pasaran minyak North Sea, yang menyokong harga lebih dari dua pertiga minyak mentah dunia, juga menyaksikan peningkatan aktiviti dalam beberapa tahun.

Sementara itu, terdapat kemungkinan bekalan Norway terganggu dengan rundingan untuk mengelakkan mogok di kilang yang sudah melewati tarikh akhir.

Penanda aras minyak mentah global telah meningkat 22 peratus setakat ini tahun ini selepas Arab Saudi mengumumkan pengurangan output, membantu lebihan stok global menjadi normal walaupun penularan pantas COVID-19 menyebabkan lebih banyak sekatan dan kawalan pergerakan.

Pasaran minyak global 'seimbang', dengan harga mencerminkan keadaan semasa, kata Timbalan Perdana Menteri Russia, Alexander Novak pada Ahad.

"Bekalan global semakin ketat dengan keadaan AS yang berdepan cuaca sejuk akan kekal untuk sementara waktu, dan ada juga jangkaan untuk permintaan akan meningkat," kata Penganalisis Komoditi Kanan di VI Investment Corp, Will Sungchil Yun yang berpangkalan di Seoul.

"Minyak West Texas Intermediate berada pada AS$65 setong tidak akan kelihatan mustahil lagi," katanya.

Brent bagi April settlement naik 0.2 peratus kepada AS$63.41 setong di ICE Futures Europe pada 9:35 pagi di Singapura. Ia ditutup pada AS$63.30 semalam, paras tertinggi sejak 21 Januari 2020.

West Texas Intermediate bagi penghantaran Mac naik satu peratus daripada penutup pada Jumaat kepada AS$60.07 di New York Mercantile Exchange. - Bloomberg

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor