News & Articles Perlu bijak pilih portfolio pelaburan
Perlu bijak pilih portfolio pelaburan
17 Feb 2021
Kuala Lumpur: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berniat mengeluarkan wang dari Akaun 1 mereka bagi tujuan pelaburan dinasihatkan memilih portfolio pelaburan yang memberi kadar pulangan melebihi kadar keuntungan ditawarkan KWSP.
Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Rusmawati Said berkata, sebenarnya jika dibandingkan dengan pelaburan lain, menyimpan wang di KWSP adalah simpanan yang kompetitif dan berisiko rendah berbanding simpanan atau pelaburan di tempat lain.
Katanya, jangkaan keuntungan KWSP adalah sekitar 4.0 hingga 5.5 peratus setahun.
"Pada kadar 5.0 peratus setahun dalam masa 20 tahun, wang RM10,000 ini akan bertambah menjadi RM26,532, bermakna keuntungan yang diperoleh adalah sebanyak RM16,532 dalam masa 20 tahun.
"Kadar ini adalah kompetitif kerana risikonya adalah rendah serta dijamin kerajaan berbanding simpanan atau pelaburan di tempat lain.
"Pencarum juga harus mengambil kira kos sampingan serta susut nilai yang harus ditanggung jika mahu melakukan perlaburan baharu," katanya kepada Bisnes Metro.
Rusmawati berkata, pencarum juga tidak digalakkan membuat pembelian kereta atau aset yang mempunyai susut nilai tinggi kerana tujuan asal wang ini adalah untuk simpanan hari tua.
Menurutnya, terdapat juga golongan yang mengeluarkan wang ini kerana mempunyai pandangan bahawa mereka mahu menikmati wang itu ketika masih muda dan mahu merasai penggunaannya sebelum hari tua.
"Ada antara mereka mengatakan bahawa mungkin umur tidak sampai tua, maka baiklah nikmati sebahagian wang itu.
"Bagi mereka, hanya RM10,000 dikeluarkan dan masih ada baki di akaun mereka untuk simpanan mendatang.
"Golongan ini dinasihati untuk lebih berhemah dalam perbelanjaan.
"Tidak dinafikan kewujudan kewangan terbabit dapat merancakkan ekonomi negara, namun ia tidak bertepatan dengan tujuan asal penyimpanan wang yang sepatutnya digunakan sebagai simpanan kecemasan," katanya.
Bagaimanapun, bagi golongan yang benar-benar memerlukan pengeluaran wang terbabit untuk kelangsungan hidup, mereka boleh menggunakannya untuk memulakan perniagaan sebagai salah satu punca rezeki.