MGB, kerajaan Selangor bekerjasama bina 7,000 rumah mampu milik
KUALA LUMPUR: MGB Bhd, anak syarikat LBS Bina Group Bhd, akan
bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor untuk membina lebih
7,000 unit Rumah Selangorku Idaman di Shah Alam, Bandar Saujana Putra, Dengkil, Puncak Alam dan Puchong.
Ia akan menggunakan teknologi pra-tuang sistem binaan berindustri (IBS), seiring dengan inisiatif kerajaan Selangor untuk meningkatkan pembinaan rumah mampu milik di negeri itu.
Rumah Selangorku Idaman bakal dilancarkan pada suku pertama dan kedua 2021.
Rumah Selangorku Idaman adalah kediaman bertingkat dengan saiz binaan minimum 1,000 kaki persegi dan harga bermula dari RM250,000 dilengkapi tiga bilik, dua bilik mandi serta dua parkir
kenderaan.
Setiap unit akan dilengkapi dengan set televisyen (TV), peti sejuk, kabinet TV, kabinet dapur, pendingin hawa dan pemanas air mandian.
MGB bercadang untuk membina lebih banyak Rumah Selangorku Idaman dalam kawasan Lembah Klang untuk membantu penduduk Selangor.
Projek eksklusif buat pembeli rumah yang bekerja dan tinggal di Selangor, berumur 18 tahun dan ke atas serta pendapatan isi rumah yang tidak melebihi RM10,000.
Projek terbabit mempunyai lokasi yang strategik dan akses kemudahan di kawasan sekeliling.
Pengarah Urusan Kumpulan MGB, Tan Sri Lim Hock San, berkata Rumah Selangorku Idaman adalah penyelesaian kepada keperluan utama dengan peningkatan permintaan terhadap rumah mampu milik di Selangor.
Beliau berkata, kerajaan Selangor membuat usaha bersepadu bagi membantu rakyat negeri itu memiliki kediaman.
Justeru, katanya insentif holistik ini mampu meningkatkan persekitaran ekonomi bagi membolehkan industri pemaju hartanah untuk berkembang dan bermanfaat kepada rakyat.
"Sebagai syarikat pembinaan yang mempunyai lebih daripada 13 tahun pengalaman, MGB memilih untuk terus berkembang dan menambah baik kaedah pembinaan.
"Salah satu contohnya adalah IBS. Kami akan menggunakan IBS bagi membina Rumah Selangorku Idaman dan kekal komited untuk membina rumah mampu milik.
"Kami ingin memastikan setiap individu atau keluarga mampu memiliki kediaman yang baik, selamat dan kondusif. Rumah Selangorku Idaman juga menawarkan nilai yang lebih baik dari segi ruang,
kualiti, reka bentuk dan komuniti," katanya dalam satu kenyataan.
Sejak 2007, MGB sudah membina lebih daripada 15,500 unit hartanah di Malaysia.
Setakat ini, ia sudah memperoleh kontrak yang bernilai RM1.75 bilion.
Source: Bharian.com.my