News & Articles HSBC terus komited melabur di Malaysia

HSBC terus komited melabur di Malaysia


8 Mar 2021
HSBC terus komited melabur di Malaysia
KUALA LUMPUR: HSBC mengukuhkan lagi komitmennya mengembangkan perniagaannya di Malaysia dengan tumpuan melabur dalam pembangunan teknologi digital untuk tempoh lima tahun akan datang.

Ia sebahagian komitmen yang dizahirkan oleh gergasi perbankan terbesar Eropah itu baru-baru ini untuk melabur sehingga AS$6 bilion dalam usaha mengukuhkan operasinya di Asia.

Ketua Negara Perbankan Komersial HSBC Malaysia, Andrew Sill, berkata pandemik COVID-19 banyak mengubah kebiasaan perbankan tradisional selama ini untuk menuju ke arah pendigitalan.

Lantaran itu, beliau berkata, HSBC akan menumpukan kepada pembangunan teknologi digital termasuk pengurusan data besar bagi memastikan kumpulan dapat terus memberikan pekhidmatan kepada pelanggan.

"HSBC akan melabur dalam pengembangan operasinya di Asia termasuk Malaysia. Ini kerana, Malaysia antara pasaran utama kepada kumpulan.

"Pelaburan ini akan tertumpu kepada pembangunan digital dan teknologi serta data besar. Sangat jelas ketika ini bahawa digital memainkan peranan utama dan HSBC Malaysia perlu mengambil peluang ini untuk mengukuhkan kehadiran di rantau ini.

"Kami sentiasa mencari peluang dan mempelbagaikan produk bagi memenuhi keperluan semasa pelanggan. Pelaburan ini akan membolehkan kumpulan memberi penyelesaian bersepadu kepada pelanggan," katanya dalam taklimat media HSBC Malaysia secara maya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Negara bagi Korporat, Perbankan Komersial, HSBC Malaysia, Karel Avni Doshi.

Ditanya jumlah pelaburan yang akan diberikan kepada pembangunan operasi HSBC Malaysia, Sill berkata jumlah itu bergantung kepada keperluan semasa.

Beliau berkata, digitalisasi dan kelestarian adalah penting bagi perniagaan Malaysia dan berdasarkan tinjauan HSBC Navigator baru-baru ini, 56 peratus menyatakan keutamaan mereka untuk fokus pada teknologi digital.

Katanya, 94 peratus pula setuju mengenai keperluan untuk mengkaji semula operasi bagi membina kembali perniagaan dengan persekitaran asas yang lebih kukuh.

"Dengan kepakaran tempatan yang kuat dan kehadiran global yang luas, HSBC dalam kedudukan tepat menawarkan kelebihan daya saing dalam digitalisasi dan sokongan untuk menjadi lebih mampan kepada perniagaan di Malaysia," katanya.

Ketua Pegawai Kewangan HSBC Group, Ewen Stevenson baru-baru ini menjelaskan bahawa kumpulan perbankan itu akan mengukuhkan operasinya di Asia, khususnya perniagaan pengurusan kekayaan susulan prestasi kewangan yang di luar jangkaan.

Pelaburan besar terhadap operasi Asia itu adalah seiring dengan perkembangan bahagian modal kumpulan di rantau ini, memandangkan rantau ini adalah pasaran utama kepada HSBC Group.

Mengulas lanjut, Sill berkata, HSBC Malaysia juga akan memberi tumpuan untuk memperkasakan produk serta pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan berskala pertengahan.

Beliau berkata, PKS adalah tunjang utama ekonomi negara mewakili 95 peratus perniagaan di Malaysia.

"Pengukuhan dan tumpuan terhadap PKS serta perusahaan pertengahan juga adalah komitmen kerajaan Malaysia. HSBC Malaysia akan memainkan peranan untuk membangunkan dua sektor ini," katanya.

Sill berkata, pengukuhan jenama HSBC juga akan diteruskan dengan pelaburan sebanyak RM1.05 bilion (AS$250 juta) bagi membina ibu pejabat HSBC Malaysia di Tun Razak Exchange (TRX), di bawah komitmen membangunkan Malaysia sebagai hab kewangan ASEAN.

Beliau berkata, ia juga sebahagian daripada agenda kumpulan untuk menyokong pembangunan infrastruktur negara ini.

"Ibu pejabat baharu ini adalah sesuatu yang menarik dan saya percaya semua tidak sabar untuk berpindah ke bangunan baharu ini kelak.

"Kami masih tidak dapat memberikan jangkaan waktu ketika ini, tetapi ia dalam masa terdekat," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor