News & Articles MRCB bangun projek RM1.3 bilion di Auckland
MRCB bangun projek RM1.3 bilion di Auckland
11 Mar 2021
KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), perintis pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Malaysia akan membuat kemunculan di New Zealand menerusi kerjasama dengan Panuku Development Auckland (Panuku).
Kerjasama itu akan membangunkan Aotea Central Over Station
Development (OSD) dengan nilai pembangunan kasar NZ$452 juta (RM1.3 bilion) di pusat bandar raya Auckland.
Projek pembangunan penjanaan semula bandar di atas stesen Aotea City Rail Link merangkumi seluas 1.08 ekar dengan kawasan lantai kasar kira-kira 45,292 meter persegi.
Tapak itu sebelum ini adalah kawasan letak kereta yang digunakan oleh Dewan Bandar Raya Auckland di persimpangan Mayoral Drive and Wellesley Street.
Pembangunan baharu itu adalah bangunan 21 tingkat dengan gabungan ruang komersial dan runcit serta 63 apartmen mewah dengan akses bersepadu ke stesen Aotea.
Datuk Bandar Auckland, Phil Goff, berkata pembangunan itu dijangka mempunyai impak positif kepada pusat bandar raya Auckland.
Beliau berkata, projek itu akan menggantikan sebuah tempat letak kereta dengan perumahan dan kedai yang moden, direka bentuk baik serta berkepadatan tinggi selain ruang komersial di tengah-tengah bandar raya.
"Central Auckland akan menjadi kawasan yang lebih segar untuk didiami dan bekerja untuk 40,000 penduduk serta 130,000 lagi yang bekerja di situ," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Panuku, David Rankin, berkata memastikan rakan pembangunan yang tepat adalah satu kunci.
"Bagi pihak Dewan Bandar Raya Auckland, kami mencari rakan pembangunan yang memahami peluang untuk menyumbang kepada penjanaan semula lokasi tengah bandar yang unik ini.
"MRCB memiliki sejarah panjang TOD berkualiti di Malaysia dan komited untuk mentransformasi tapak Mayoral Drive bagi menarik minat mereka yang mahukan kehidupan pusat bandar dan gaya hidup karbon rendah di tengah-tengah Auckland," katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Imran Salim, pula gembira kerana Panuku memberikan peluang kepada kumpulan untuk menyumbang kepada landskap pembangunan Auckland.
"MRCB gembira untuk memperluaskan kepakaran TOD bagi menghasilkan pembangunan ikonik di New Zealand.
"Dengan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman membangunkan Kuala Lumpur Sentral CBD yang merangkul pelbagai anugerah, kami menyasarkan OSD akan menjadi TOD pelbagai guna yang menyumbang positif serta meningkatkan pertumbuhan bandar raya ini," katanya.
Pembangunan OSD akan bermula selepas pembinaan stesen Aotea City Rail Link, yang dijadualkan siap pada 2024.