News & Articles Teladan Setia rancang lancar tiga projek baharu tahun ini
Teladan Setia rancang lancar tiga projek baharu tahun ini
18 Mar 2021
KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Teladan Setia Group Bhd (Teladan Setia), yang membuat dagangan sulung di Pasaran ACE hari ini merancang untuk melancarkan tiga projek pembangunan kediaman baharu di Melaka pada tahun ini.
Pengarah Urusan Teladan Setia, Richard Teo Lay Ban, berkata ketiga-tiga projek itu dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM995 juta.
Katanya, jika dicampurkan sekali tiga projek itu dengan projek hartanah lainnya yang sedang dibangunkan menjadikan jumlah GDV kumpulan itu sebanyak RM1.6 bilion yang dijangka mampu bertahan untuk tempoh empat tahun.
"Sememangnya fokus syarikat adalah lebih kepada projek hartanah mampu milik di Melaka dan sudah bertapak di negeri ini selama 24 tahun.
"Namun, syarikat turut mempunyai perancangan untuk mengembangkan operasi ke luar Melaka dan sebagai permulaan kami telah membeli sebidang tanah di Seri Kembangan, Selangor yang terletak berhampiran pusat beli belah The Mines.
"Tanah ini sedang mendapatkan kelulusan untuk dibangunkan dan kami akan mengumumkan sebarang perkembangan mengenainya pada masa akan datang," katanya pada sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia pagi ini.
Pada jam 9 pagi, saham Teladan Setia diniagakan pada RM0.60 sen, mencatat premium sebanyak 12 sen berbanding harga tawaran IPO RM0.48.
Setakat jam 10 pagi, saham kumpulan itu diniagakan pada harga RM0.58 dengan 160.58 saham telah bertukar tangan.
Kumpulan menyasar untuk meraih dana RM77.3 juta daripada penyenaraian itu yang dijana menerusi tawaran 161.1 juta saham dengan harga IPO pada 48 sen sesaham.
Daripada jumlah berkenaan, syarikat akan memperuntukkan sebanyak RM35 juta atau 45.3 peratus akan digunakan bagi pembelian tanah di Melaka.
Tawaran IPO itu membabitkan terbitan awam sebanyak 161.1 juta saham baharu yang mewakili 20 peratus daripada modal sahamnya yang diperbesar, bersama dengan tawaran jualan 40.8 juta saham sedia ada.
Terbitan awam sebanyak 161.1 juta saham baharu terdiri daripada 40.3 juta saham baharu untuk orang awam dan 10.5 juta saham baharu lagi diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan mereka yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan.