News & Articles Maxis lantik Mokhzani sebagai Pengerusi baharu

Maxis lantik Mokhzani sebagai Pengerusi baharu


23 Mar 2021
Maxis lantik Mokhzani sebagai Pengerusi baharu
KUALA LUMPUR: Maxis Bhd melantik Tan Sri Mokhzani Mahathir sebagai Pengerusi baharunya berkuatkuasa hari ini.

Beliau menggantikan Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda yang mengundur diri daripada jawatannya sebagai Pengerusi selepas berkhidmat sejak penyenaraian Maxis di Bursa Malaysia pada tahun 2009.

Raja Arshad bagaimanapun akan terus berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Maxis.

Beliau berkata, adalah suatu penghormatan untuk berkhidmat sebagai Pengerusi Maxis selama 11 tahun, bekerjasama dengan ahli lembaga pengarah yang lain dalam membimbing syarikat dalam transformasinya dari pemain mudah alih terkemuka kepada penyedia penyelesaian terpadu terkemuka di negara ini.

"Saya bangga dengan apa yang telah kami capai dan bagaimana kami terus melayani pelanggan dan pihak berkepentingan yang kami hargai dalam persekitaran digital yang berkembang pesat.

"Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Lembaga Pengarah, pengurusan dan warga Maxis yang telah memberi sokongan yang begitu padu yang akan saya hargai selama-lamanya.

"Saya percaya bahawa sudah waktunya untuk saya menyerahkan peranan sebagai Pengerusi kepada anggota Lembaga yang lebih muda, dan saya mengucapkan tahniah kepada Mokhzani atas pelantikannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raja Arshad berkata, Mokhzani adalah pemimpin korporat dan usahawan berpengalaman serta berpengetahuan luas dalam industri telekomunikasi, selepas beberapa tahun menganggotai lembaga dan menjadi ahli bagi beberapa Jawatankuasa Lembaga.

"Saya yakin dengan sokongan dan komitmen berterusan dari semua warga Maxis, Syarikat akan terus berkembang di bawah kepimpinannya," katanya.

Sementara itu Mokhzani berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Raja Arshad atas kepemimpinan, bimbingan dan sumbangan yang sangat tinggi kepada syarikat selama ini.

"Kami berada di puncak era teknologi baharu dan Maxis selalu berada di barisan hadapan dalam membawa inovasi baharu kepada negara.

"Saya yakin bahawa sebagai penyedia penyelesaian terpadu yang terkemuka, Maxis akan memainkan peranan penting dalam memajukan kesalinghubungan dan agenda digital negara.

"Kami berada di masa yang mengujakan di Maxis. Saya menantikan peranan baru saya dan juga untuk bekerjasama dengan Lembaga Pengarah, pengurusan serta warga Maxis memandangkan kami kini mempercepat cita-cita pertumbuhan jangka panjang kami," katanya.

Mokhzani kini mempengerusikan Jawatankuasa Audit dan Risiko Maxis dan juga anggota Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan serta Jawatankuasa Hal Ehwal Kerajaan dan Kawal Selia.

Beliau akan melepaskan peranannya sebagai Pengarah Bebas Kanan dan Pengerusi Jawatankuasa Audit dan Risiko.

Selepas memulakan kerjaya profesionalnya sebagai jurutera luar pesisir dengan Sarawak Shell Berhad, Mokhzani menceburkan diri dalam sektor pembuatan komponen, perkhidmatan minyak dan gas, kewangan dan penjagaan kesihatan.

Pengalaman korporatnya yang lalu merangkumi jawatan eksekutif utama di Pantai Holdings Berhad, THB Industries Berhad, Tongkah Holdings Berhad, Kencana Petroleum Bhd selain menjadi pengasas bersama SapuraKencana Petroleum Berhad.

Pada masa ini, portfolio pelaburannya melalui Kencana Capital Sdn Bhd merangkumi perniagaan dalam bidang IT, harta tanah, pertanian dan industri makanan serta automotif.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor