News & Articles LBS rancang projek RM1.5 bilion di Cameron Highlands
LBS rancang projek RM1.5 bilion di Cameron Highlands
1 Apr 2021
KUALA LUMPUR: Anak syarikat tidak langsung LBS Bina Group Bhd, Casa Inspirasi Sdn Bhd (CISB), menandatangani perjanjian usaha sama (JV) dengan Majlis Daerah Cameron Highlands untuk membangunkan kira-kira 20 hektar tanah pegangan pajakan di Brinchang.
Casa Inspirasi adalah anak syarikat LBS Bina Holdings Sdn Bhd (LBSH), yang juga anak syarikat milik penuh LBS Bina Group.
LBS Bina berkata, projek pembangunan yang dicadangkan itu merangkumi hartanah kediaman dan komersial termasuk pangsapuri berperkhidmatan, kedai runcit, dan unit kediaman bertanah dengan anggaran nilai pembangunan kasar keseluruhan (GDV) kira-kira RM1.5 bilion.
"Merangkumi tempoh projek yang dianggarkan 10 hingga 15 tahun, pembangunan itu akan bermula dalam tempoh satu tahun dari tarikh perjanjian.
"Ia dirancang untuk dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank," kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
LBS Bina menjangkakan pembangunan itu akan menyumbang secara positif kepada aliran pendapatan dan keuntungan kumpulan pada masa depan.
"Dengan lokasi strategik dan peningkatan permintaan yang menggalakkan, pihak pengurusan yakin cadangan pembangunan itu akan diterima baik kerana lokasinya yang menakjubkan," tambahnya