News & Articles Pasaran hartanah menyusul

Pasaran hartanah menyusul


2 Apr 2021
Pasaran hartanah menyusul
Petaling Jaya: Peserta hartanah optimis dengan tinjauan pasaran untuk separuh kedua tahun 2021 berbanding separuh pertama tahun ini khususnya dengan jangkaan pemulihan ekonomi secara meluas.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Soam Heng Choon berkata, pemulihan ekonomi akan membantu meningkatkan sentimen pembeli khususnya dalam sektor hartanah.

"Memandangkan lebih banyak negara semakin pulih daripada Covid-19, perdagangan kita akan bertambah baik dan ini akan merancakkan ekonomi. Apabila ekonomi secara meluas telah pulih, pasaran hartanah akan menyusul," katanya dalam taklimat media, semalam.

Kaji selidik yang meliputi 134 responden itu mendapati 20 peratus daripada responden optimis terhadap prestasi pasaran dan jualan hartanah pada separuh kedua 2021 berbanding lapan peratus pada separuh pertama tahun ini.

Manakala bagi sektor kediaman, 26 peratus responden optimis pada separuh kedua 2021 berbanding lapan peratus pada separuh pertama tahun ini.

Soam berkata, sebanyak 13,037 unit telah dirancang untuk dilancarkan pada separuh pertama 2021 dengan 12,874 unit adalah kediaman (6,998 unit strata dan 5,876 unit di atas tanah) dan 163 unit komersial.

Katanya, 83 peratus daripada responden dengan pelancaran masa depan mengunjurkan prestasi jualan masing-masing pada sekitar 50 peratus dan ke bawah untuk enam bulan pertama.

Sementara itu, Soam berkata responden bersikap neutral terhadap prospek ekonomi dan perniagaan untuk tahun 2021, walaupun secara jelasnya, mereka agak bimbang mengenai kuasa membeli pengguna pada separuh pertama tahun ini.

Menurutnya, 51 peratus responden mendedahkan kos keseluruhan menjalankan perniagaan meningkat 12 peratus pada separuh kedua 2020 dan 98 peratus responden terkesan oleh senario ekonomi semasa sementara mereka "yang paling teruk terkesan" meningkat kepada 42 peratus berbanding 26 peratus pada separuh kedua 2019.

Katanya, kos pematuhan kekal menjadi komponen teratas yang mempengaruhi aliran tunai, diikuti oleh kos tenaga kerja dan kos tanah.

Dalam pada itu, Soam berkata, pihaknya berharap kerajaan melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) hingga akhir tahun ini bagi meneruskan momentum positif jualan rumah.

Source: Hmetro.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor