News & Articles Unjuran pertumbuhan ekonomi 6 – 7.5% mampu dicapai – Mustapa

Unjuran pertumbuhan ekonomi 6 – 7.5% mampu dicapai – Mustapa


16 Apr 2021
Unjuran pertumbuhan ekonomi 6 – 7.5% mampu dicapai – Mustapa
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan yakin mampu mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi antara enam hingga 7.5 peratus yang disasarkan tahun ini sekiranya situasi semasa ekonomi ketika tempoh Covid-19 terus menunjukkan pemulihan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keyakinan itu disokong beberapa petanda baik yang menunjukkan pemulihan ekonomi negara.

Antara petanda baik itu termasuklah eksport Februari yang meningkat, kadar pengangguran Februari yang menurun, perkembangan indeks perindustrian serta kenaikan harga komoditi iaitu kelapa sawit dan minyak dunia.

“Kita yakin apa yang diunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu enam hingga 7.5 peratus tahun ini dan pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga mengunjurkan pertumbuhan negara kita sebanyak 6.5 peratus tahun ini mampu dicapai.

“Sekarang ini sudah ada tanda-tanda (positif), dalam seminggu dua lagi BNM akan mengeluarkan kadar pertumbuhan ekonomi negara suku pertama iaitu tempoh Januari hingga Mac.

“Kita yakin ada julat sedemikian, namun ia banyak bergantung kepada situasi Covid-19. Maknanya kalau situasi semakin stabil dan berkurangan, kita mungkin boleh capai 7.5 peratus,” katanya dalam sidang akhbar pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di sini hari ini.

Mustapa bagaimanapun mengakui, kerajaan akan menghadapi cabaran dalam merencana Belanjawan 2022 berikutan situasi Covid-19 yang masih belum stabil serta kekangan dari segi sumber kewangan negara.

Sehubungan itu, ujarnya, kerajaan akan memperhalusi permohonan setiap kerajaan negeri, kementerian dan agensi kerajaan agar peruntukan pembangunan tahun depan lebih fokus kepada projek yang memberi impak besar kepada rakyat.

Kata beliau, proses untuk permohonan dan perbincangan terbabit telah bermula pada 12 April lalu dan dijangka berakhir Jun ini, sebelum keputusan dijangka akan dapat dimuktamadkan Ogos ini untuk dibawa kepada Kementerian Kewangan bagi tindakan lanjut.

“Kita maklum dengan kekangan sumber kewangan kerana sebahagian sumber berkenaan perlu disalurkan kepada usaha menangani Covid-19 dan juga untuk memastikan rakyat Malaysia menerima bantuan.

“Oleh itu, kita kena berhemah dalam berbelanja dan pastikan projek yang diluluskan merupakan projek yang memberi impak kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri taklimat Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC) mengenai perkembangan terbaharu pembangunan PIPC dan perkembangan pelaksanaan Sistem Transit Bas Deras (BRT) oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA). – UTUSAN

Source: Utusan.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor