News & Articles Kwasa Land, YTL bangun projek RM200 juta

Kwasa Land, YTL bangun projek RM200 juta


26 Apr 2021
Kwasa Land, YTL bangun projek RM200 juta
KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kwasa Land Sdn Bhd bekerjasama dengan YTL Corporation Bhd untuk membangunkan projek kediaman bernilai RM200 juta di Subang, Selangor.

Kwasa Land, pemaju utama perbandaran Kwasa Damansara, menandatangani perjanjian hak pembangunan dengan anak syarikat milik penuh YTL, Syarikat Pembenaan Yeoh Tiong Lay (YTL Construction) untuk projek itu, menurut rakan kongsi berkenaan dalam kenyataan bersama hari ini.

Pembangunan seluas 5.13 hektar itu, dikenal pasti sebagai plot R2-1 di perbandaran Kwasa Damansara, akan terdiri daripada rumah bandar satu setengah tingkat dan rumah teres tiga tingkat serta taman utama seluas 0.52 hektar dan taman bandar (1.1 hektar).

Pengarah Urusan Kwasa Land, Mohamad Hafiz Kassim, berkata syarikat berharap dapat bekerjasama dengan YTL Construction untuk melancarkan pembangunan itu pada akhir tahun.

"YTL Construction dipilih mengikut proses yang teguh dan ia menunjukkan keupayaannya, rekod prestasi yang kukuh dan hasrat untuk menawarkan kediaman dengan kualiti yang lain daripada yang lain sejajar dengan permintaan pembeli rumah semasa," katanya.

Pengarah Eksekutif YTL Construction, Yeoh Keong Yuan, berkata memanfaatkan nilai bersama dengan Kwasa Land menuju ke arah komuniti hijau, pembangunan tersebut menawarkan platform kepada syarikat untuk mengintegrasikan alam sebagai aspek pelengkap.

"Penduduk akan dapat menikmati ruang tamu yang terbuka dan luas serta dihubungkan dengan pemandangan taman-taman sekitarnya yang menakjubkan.

"Mereka juga boleh meneroka laluan pejalan kaki dan laluan joging yang disediakan," katanya.

Menurut kenyataan itu, kediaman terbabit, dengan keluasan antara 1,200 kaki persegi dan 2,300 kaki persegi, akan menampilkan reka bentuk moden dan minimalis sesuai dengan estetika YTL, sejajar dengan visi Kwasa Damansara untuk menjadi sebuah perbandaran yang 'Hijau, Terhubung dan Inklusif'.

Katanya, pembangunan itu juga akan disokong oleh infrastruktur pengangkutan utama seperti Lapangan Terbang Subang, Kwasa Sentral dan stesen MRT Kwasa Damansara serta rangkaian empat lebuh raya.

-BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor