News & Articles BMF bantu golongan B40 milik rumah

BMF bantu golongan B40 milik rumah


30 Apr 2021
BMF bantu golongan B40 milik rumah
KUALA LUMPUR: Better Malaysia Foundation (BMF) mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan awal bulan ini berhubung rumah mampu milik khusus bagi kumpulan rakyat Malaysia berpendapatan rendah, iaitu isi rumah B40.

Pengasas BMF, Tan Sri Vincent Tan, memberitahu sidang media bahawa kerajaan sedang mengkaji cadangan itu.

"(Cadangan) sudah dihantar kepada kerajaan, jadi saya serahkan kepada kerajaan," katanya yang enggan memberitahu kepada siapa cadangan itu diserahkan, atau kementerian mana yang dimaksudkannya.

Tan juga berkata, beliau yakin kerajaan akan menerima cadangan BMF dan sedar bahawa ada banyak perkara teknikal yang harus diperincikan berhubung cadangan itu.

Katanya, cadangan itu antara lain merangkumi usul agar kerajaan menjamin pinjaman (bagi B40 memiliki rumah), pembiayaan 100 peratus serta jangka masa kewangan yang lebih panjang hingga 60 tahun untuk pinjaman rumah.

Beliau berkata, sekiranya bank bersetuju untuk memberikan pinjaman kepada B40, banyak pemaju rumah akan membina rumah mampu milik dan keadaan itu adalah baik untuk negara.

Terdahulu, sebelum sidang media, wakil media dibawa mengunjungi unit pameran rumah berkeluasan 900 kaki persegi dengan lima bilik tidur dan empat bilik mandi bagi kumpulan keluarga B40 yang direka oleh BMF.

BMF baru-baru ini melancarkan program sosial baharu untuk membantu kerajaan menangani aspirasi pemilikan rumah rakyat Malaysia berpendapatan rendah atau isi rumah B40.

Ia bertujuan memudahkan pembinaan hartanah dengan kos pemilikan bulanan yang rendah, dirancang dengan teliti agar keluarga terbabit dapat hidup makmur dan berkembang dengan baik. -BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor