News & Articles PKP 3.0: Tiada moratorium menyeluruh secara automatik
PKP 3.0: Tiada moratorium menyeluruh secara automatik
11 May 2021
KUALA LUMPUR: Moratorium menyeluruh secara automatik tidak akan dilaksanakan semula meskipun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara bermula esok.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata bagi membantu peminjam, bank akan terus menawarkan bantuan bayaran balik kepada pelanggan yang memerlukan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan terkini itu.
Katanya, moratorium pinjaman automatik bukannya penyelesaian terbaik untuk semua peminjam ketika ini kerana yang diperlukan adalah bantuan pembayaran balik dan nasihat yang tepat daripada bank mengikut keperluan spesifik peminjam.
"Bukan penyelesaian terbaik (moratorium menyeluruh automatik) untuk semua. Mereka (peminjam) perlu menghubungi bank bagi membolehkan institusi perbankan dapat menawarkan produk yang betul dan memberi nasihat yang tepat bagi memenuhi keperluan sebenar peminjam.
"Lebih penting, peminjam mendapat bantuan yang mencerminkan keperluan spesifik bagi mendepani cabaran yang dihadapi. Jadi, mereka tidak menanggung kos lebih besar dalam bentuk hutang pada masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian pada pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2021 secara maya, hari ini.
Nor Shamsiah berkata, walaupun PKP 3.0 diperluaskan ke seluruh negara, namun hampir semua sektor ekonomi masih beroperasi berbanding PKP pertama tahun lalu, sekali gus hanya segelintir peminjam memerlukan sokongan susulan berikutan sekatan pergerakan itu.
"Bank akan terus menawarkan pelbagai bantuan pembayaran balik. Ia akan diteruskan untuk segelintir pelanggan yang memerlukan bantuan susulan pelaksanaan PKP 3.0.
"Malah, semua bank juga sudah menawarkan pelan bantuan pembayaran balik termasuk moratorium pinjaman yang ditawarkan kepada pelanggan yang kehilangan kerja atau terjejas dengan pengurangan pendapatan," katanya.
Beliau berkata, peminjam turut boleh menghubungi pelbagai saluran yang disediakan termasuk BNM Telelink dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), jika memerlukan tawaran bantuan yang lebih meluas.
Katanya, sehingga 21 Mac 2021, bank sudah membantu 1.6 juta permohonan bagi mendapatkan bantuan pembayaran balik dengan kadar kelulusan 95 peratus.
"BNM dan AKPK juga sudah menyokong 47,000 peminjam bagi membantu dari sudut obligasi hutang mereka dan susulan dengan bank yang memberi pinjaman. Kami akan terus membantu peminjam bagi menghadapi tempoh mencabar ini.
"Rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam juga tidak terjejas dengan bantuan pembayaran balik sehingga akhir tahun ini.
"Jika ada peminjam yang berdepan dengan kesukaran, mohon hubungi bank anda awal untuk membincangkan penyelesaian terbaik membantu menguruskan hutang anda," katanya.