News & Articles Lotus's Malaysia mahu rekrut 200 pekerja baharu
Lotus's Malaysia mahu rekrut 200 pekerja baharu
12 May 2021
Kuala Lumpur: Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) yang sebelum ini dikenali sebagi Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd berusaha untuk merekrut 200 pekerja baharu untuk pusat pengedarannya di Bukit Beruntung, Selangor.
Kedua-dua pusat pengedaran Lotus's di Bukit Beruntung dan Simpang Pulai, Perak dikendalikan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia sejak November 2020 sebagai tindak balas kepada seruan kerajaan untuk mewujudkan pekerjaan bagi rakyat Malaysia berikutan kadar pengangguran yang tinggi di sebalik wabak Covid-19 yang berlarutan.
Presidennya, Kenneth Chuah berkata, awal tahun ini terdapat keraguan mengenai status pekerjaan rakan sekerja Tesco selepas Lotus's mengambil alih.
"Yakinlah bahawa tidak ada rancangan untuk pembuangan pekerja dan kami akan terus merekrut untuk menyokong aspirasi serta rancangan pertumbuhan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan.
Warganegara Malaysia yang berumur 18 hingga 50 tahun dengan tahap pendidikan minimum Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Penilaian Tingkatan 3 (PT3) dan bersedia bekerja syif, lima hari seminggu dialu-alukan untuk memohon.
Lotus's juga menawarkan sumbangan bonus tahunan, insurans, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Lotus's turut mengalu-alukan wanita untuk bekerja di pusat pengedarannya.
Kini, lebih daripada 30 peratus rakan sekerja yang mengendalikan mesin dan memandu forklift adalah wanita.
Ini adalah suatu perubahan yang ketara kerana sebelum 2020, pusat pengedaran Lotus's hanya dikendalikan oleh pekerja lelaki.
Calon yang berminat boleh pergi terus ke pusat pengedaran Bukit Beruntung untuk temu duga atau mendaftar di pautan https://bit.ly/3eGdmOd.
Lotus's kini mengendalikan semua operasi cawangan Tesco yang ada, dengan menggajikan lebih 8,600 rakan sekerja di satu ibu pejabat, dua pusat pengedaran dan 62 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia.