News & Articles SCIB terima kontrak projek rumah PR1MA RM120 juta

SCIB terima kontrak projek rumah PR1MA RM120 juta


19 May 2021
SCIB terima kontrak projek rumah PR1MA RM120 juta
PETALING JAYA: Anak syarikat Sarawak Consolidated Industries Bhd. (SCIB), SCIB Properties Sdn. Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM120 juta untuk membina unit kediaman ber­tingkat di daerah Sering di Kota Bharu, Kelantan di bawah skim rumah mampu milik PR1MA Corp. Malaysia.

SCIB dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia memaklumkan, pihaknya telah mene­rima surat penganugerahan dan penerimaan untuk kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan serta pentauliahan daripada AUEI Teras Holdings Sdn. Bhd.

Ujarnya, pembinaan projek itu dijangka dilaksanakan antara Jun 2021 dan Ogos 2023.

“Projek ini melibatkan cadangan pembinaan dua blok pangsapuri 21 tingkat dengan masing-masing 316 unit kediaman.

“Selain itu, ia turut merangkumi pembinaan dewan dan surau serbaguna, kemudahan taska dan tadika, rumah pengawal keselamatan, tempat letak kenderaan empat setengah tingkat dan surau,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, nilai kontrak RM120 juta tidak termasuk dewan dan surau serbaguna, kemudahan taska dan tadika, rumah jaga dan infrastruktur.

“Sebarang keuntungan yang diagihkan kepada kumpulan akan dimaklumkan secara berperingkat sepanjang tempoh kontrak berdasarkan kemajuan projek.

“Penganugerahan kontrak ini diharapkan dapat memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depan kumpulan SCIB sepanjang tempoh kontrak,” ujarnya.

Pada pukul 12.30 tengah hari semalam, harga saham SCIB naik satu sen atau 0.76 peratus kepada RM1.32, yang menjadikan nilai kumpulan sekitar RM182.13 juta.

SCIB mempunyai 137.98 juta saham terbitan, menurut laporan kewa­ngan suku tahunan terkini syarikat. – UTUSAN

Source: Utusan.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor