Hartanah baru rekod 293 peratus
JUALAN hartanah kediaman di Malaysia dalam segmen tertentu dilihat meningkat meskipun berdepan persekitaran mencabar akibat penularan Covid-19.
Syarikat teknologi hartanah Asia, Juwai IQI antaranya, mencatatkan jualan hartanah baharu sebanyak 293 peratus setakat ini bagi tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, malah jualan tahun ini adalah 247 peratus lebih tinggi berbanding 2019.
Pada minggu 10 Mei lalu, syarikat itu memuktamadkan AS$88 juta (RM364 juta) jualan projek kediaman baharu di seluruh Malaysia, kira-kira 75 peratus lebih tinggi berbanding kira-kira AS$50 juta (RM207 juta) yang dicatatkan bagi minggu biasa.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menjejaskan jualan Juwai IQI di Malaysia seperti yang dijangkakan.
Sebaliknya, jualannya meningkat dalam tempoh PKP berikutan platform teknologi membolehkan pihaknya melayani pembeli.
Justeru, katanya, Juwai IQI terus melabur dalam teknologi dengan menubuhkan pasukan data dan teknologi global seramai 1,000 orang di Kuala Lumpur.
"Berikutan Covid-19, ramai orang percaya ini masa yang tepat untuk membeli rumah. Rakyat Malaysia kurang berbelanja berikutan sekatan berkaitan wabak.
"Akibatnya, mereka mengumpulkan lebih banyak simpanan dan mahu menggunakan wang itu untuk kegunaan yang baik dengan membeli pegangan dalam pasaran hartanah," katanya dalam kenyataan.
Kashif berkata, Covid-19 membuatkan ramai orang menyedari bahawa kejadian yang tidak dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa, justeru pembeli hartanah melihat memiliki hartanah sebagai kaedah berisiko rendah untuk membina penampan kewangan.
Beliau berkata, tinjauan pengguna yang dijalankan pihaknya baru-baru ini mendapati bahawa 70 peratus rakyat Malaysia berdepan sama ada hilang pekerjaan atau terpaksa menutup perniagaan ketika pandemik.
Katanya, kebanyakan rakyat Malaysia masih memperoleh pendapatan, tetapi tidak membelanjakan seperti sebelum pandemik dan ramai menggunakan wang untuk pembayaran pendahuluan hartanah.
"Ramai melihat sebagai ledakan hartanah akan datang menjadi penyebab lain orang membeli hartanah hari ini. Pemerhati menjangkakan pertumbuhan ekonomi, pekerjaan dan pendapatan perlu meningkat lebih pantas dalam peningkatan semula pasca pandemik berbanding kadar sebelum Covid-19.
"Keadaan itu cenderung bertepatan dengan permintaan dan harga hartanah yang meningkat.
"Permintaan dipacu oleh kadar faedah yang rendah, pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan pelbagai inisiatif lain yang berkaitan dengan hartanah yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2021, termasuk Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana)," katanya.
Kashif berkata, pihaknya menjangkakan pasaran yang kukuh pasca pandemik, dengan hartanah yang mempunyai kedudukan dan reka bentuk terbaik akan dijual lebih cepat serta pada harga lebih tinggi.
Namun beliau berkata, rumah yang kurang menarik akan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan.
"Pembeli hari ini jauh lebih peka terhadap gaya hidup dan kemudahan berbanding masa lalu. Mereka menyedari bahawa mereka mungkin harus menghabiskan banyak masa mereka di rumah, jadi rumah mereka perlu lebih baik," katanya.
Source: hmetro.com.my