News & Articles Untung Sime Darby Property naik tinggi kepada RM60.61 juta

Untung Sime Darby Property naik tinggi kepada RM60.61 juta


28 May 2021
Untung Sime Darby Property naik tinggi kepada RM60.61 juta
KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sime Darby Property Bhd (Sime Darby) meningkat kepada RM60.61 juta pada suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2021 daripada RM2.72 juta pada suku pertama 2020, kenaikan itu disebabkan pemulihan dalam segmen pembangunan hartanah.

Pendapatan melonjak 23.7 peratus kepada RM589.49 juta daripada RM476.74 juta, dengan jualan sebanyak RM630.2 juta, kata Sime Darby dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Kekukuhan kewangan kumpulan itu juga disokong oleh jumlah jualan keseluruhan yang belum dimasuk kira dan jumlah tempahan berjumlah RM0.8 bilion diperoleh pada 31 Mac 2021.

Pembangunan hartanah mencatat peningkatan prestasi yang ketara sebanyak RM96.4 juta atau pertambahan dalam sumbangan sebanyak lebih daripada sepuluh kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan yang ketara itu kebanyakannya disebabkan oleh aktiviti jualan lebih tinggi dan pembangunan di Bandar Elmina, Serenia City, Serini, The Ridge dan Senada pada suku semasa berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Sementara itu, pendapatan segmen pelaburan dan pengurusan aset naik kepada RM22.4 juta daripada RM17.4 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya menerusi pembukaan KL East Mall pada akhir November 2020.

Bagaimanapun, segmen itu mencatatkan kerugian sebanyak RM2.6 juta berbanding keuntungan RM0.5 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya, kebanyakannya disebabkan oleh perbelanjaan yang lebih tinggi untuk KL East Mall, seiring dengan peningkatan aktiviti dengan pembukaan pusat beli-belah.

Selain itu, kumpulan itu mengiktiraf bahagian kerugian yang lebih tinggi daripada usaha sama dan pendapatan sewa lebih rendah daripada hartanah pelaburan lain akibat daripada kadar penghunian yang lebih rendah dan pendapatan sampingan serta pemberian konsesi sewa kepada penyewa.

Sime Darby Property berkata pihaknya terus fokus untuk mempercepatkan kepelbagaian asas pendapatannya, melaksanakan pelan pelancaran taktikal, mewujudkan nilai melalui pengurusan simpanan tanah aktif dan perancangan pengewangan serta pengurusan kos secara berterusan bagi tahun kewangan 2021.

"Walaupun cabaran susulan daripada pandemik COVID-19 dijangka akan berlaku pada tahun kewangan 2021 dengan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, kami optimis terhadap pertumbuhan masa depan yang disokong oleh prestasi kewangan kami yang semakin baik pada suku pertama 2021," katanya.

Kumpulan itu berkata pemulihan pasaran bergantung kepada langkah-langkah pencegahan yang dilakukan dan kejayaan program vaksinasi di negara ini.

– Bernama

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Beli rumah apabila tawaran harga berbaloi dengan keadaan kewangan - Pakar

  • Residential tenancy bill upholds neutral framework, does not discriminate - KPKT

  • Influx of MNCs boost Kuala Lumpur's office market competitiveness: Knight Frank

  • Tropicana mulakan pembangunan berbilion ringgit Lido Waterfront Boulevard di Johor

  • REHDA warns against restrictions on property purchases, citing potential harm to housing market