News & Articles Gaji menteri, timbalan disumbangkan ke Akaun Amanah Bencana

Gaji menteri, timbalan disumbangkan ke Akaun Amanah Bencana


1 Jun 2021
Gaji menteri, timbalan disumbangkan ke Akaun Amanah Bencana
Kuala Lumpur: Menteri dan timbalan menteri tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun untuk disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia sebagai tanda sokongan dan sudah diamalkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu.

Katanya, kerajaan akan terus mengutamakan pendekatan whole-of-government dan whole-of-society dalam memerangi pandemik wabak ini.

"Ini merujuk usaha mengoptimumkan seluruh tenaga kerja kesihatan dan peranan barisan hadapan yang bertindak di lapangan serta peranan seluruh rakyat Malaysia yang turut sama membantu untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini.

"Saya amat menghargai dan berterima kasih kepada semua pihak yang kekal teguh bersama-sama kerajaan tanpa mengira kawan atau lawan dalam menghadapi situasi yang tidak pernah kita jangkakan ini," katanya dalam perutusan khas malam ini.

Perdana Menteri berkata, keputusan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh adalah sukar tetapi terpaksa dibuat.

Katanya, sama ada sekatan ini akan berjaya atau tidak semuanya terserah kepada rakyat Malaysia serta ketentuan Ilahi.

"Kerajaan sudah menutup hampir semua sektor ekonomi dan sosial untuk mengurangkan pergerakan rakyat dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Saudara dan saudari dikehendaki duduk di rumah, stay at home…saya ulangi stay at home dan sentiasa patuh kepada SOP.

"Jika saudara dan saudari gagal mematuhi arahan ini, maka kita semua akan gagal, na'uzubillah," katanya.

Muhyiddin turut mengulangi penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang kini sudah penat melawan virus itu.

"Kepada frontliners, bertabahlah. Saya tahu anda semua penat berperang melawan virus ini sejak lebih setahun yang lalu. Saya ingin ulangi penghargaan kerajaan yang tidak terhingga atas segala jasa dan pengorbanan frontliners kita di seluruh negara.

"Saya doakan agar anda semua terus diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk mengharungi cabaran dan dugaan yang amat besar ini. Saya juga mendoakan agar semua pesakit yang sedang bertarung melawan Covid-19 ini diberikan kesembuhan segera.

"Saya dengan penuh dukacitanya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa Covid-19 yang meninggal dunia.

"Mudah-mudahan anda semua tabah menghadapi dugaan yang amat berat ini. Marilah kita bersama-sama panjatkan doa ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan wabak yang sedang melanda negara kita dan seluruh dunia pada masa ini segera berakhir," katanya.

Source: Hmetro.com.my

Latest Posts
  • Beli rumah apabila tawaran harga berbaloi dengan keadaan kewangan - Pakar

  • Residential tenancy bill upholds neutral framework, does not discriminate - KPKT

  • Influx of MNCs boost Kuala Lumpur's office market competitiveness: Knight Frank

  • Tropicana mulakan pembangunan berbilion ringgit Lido Waterfront Boulevard di Johor

  • REHDA warns against restrictions on property purchases, citing potential harm to housing market