News & Articles Axiata, RHB bekerjasama mohon lesen perbankan digital

Axiata, RHB bekerjasama mohon lesen perbankan digital


3 Jun 2021
Axiata, RHB bekerjasama mohon lesen perbankan digital
PETALING JAYA: Axiata Group Berhad dan RHB Banking Group Berhad menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk membuat permohonan lesen bank digital di bawah rangka kerja yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Axiata melalui anak syarikatnya, Boost Holdings Sdn. Bhd. dan RHB telah menandatangani perjanjian komprehensif untuk membina konsortium aplikasi tersebut bagi meningkatkan daya saing dan mempercepat transformasi digital negara.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, Axiata berkata Boost Holdings akan memiliki saham majoriti sebanyak 60 peratus sementara RHB akan memegang baki 40 peratus dalam usahasama perbankan digital itu, tertakluk kepada persetujuan daripada BNM.

Ketua Pegawai Eksekutif Axiata, Datuk Izzadin Idris berkata, kumpulan itu menyuntik buku pinjaman anak syarikatnya, Aspirasi (Axiata Digital Capital Sdn. BHd.) ke dalam usaha tersebut dengan syarat konsortium itu boleh memperoleh lesen.

“Tarikh akhir penyerahan adalah pada 30 Jun ini tetapi BNM akan mengambil masa sekitar 18 bulan untuk memutuskan pemberian lesen itu. Kami akan mengetahui keputusannya menjelang akhir tahun depan.

“Walaupun kami belum mengemukakan permohonan bersama untuk mendapatkan lesen itu, bank digital itu akan bersedia untuk memulakan operasi sebaik sahaja lesen tersebut diperoleh,” katanya dalam taklimat yang diadakan secara maya semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, bank digital yang berpotensi itu akan berfungsi sebagai lanjutan dari program transformasi digital bank itu, yang merupakan komponen terasnya dalam strategi FIT22.

Katanya, RHB boleh berusaha untuk masuk ke segmen itu sendiri tetapi pihaknya perlu beri perhatian kepada pelbagai teknologi baharu dan cuba memahami bagaimana perniagaan dilakukan untuk item-item tiket kecil itu.

“Itu akan memakan masa yang lama. Kami percaya cara terbaik adalah dengan bekerjasama dengan pihak yang berpengalaman seperti Boost. Ia bukan sesuatu yang baharu bagi mereka.

“Kami ingin bekerjasama dengan pihak yang sudah berpengalaman dan pakar dalam kecerdasan buatan (AI) serta pelbagai teknologi baharu, dan kami pula akan menyumbang pengalaman dan kepakaran kami dalam mengendalikan bank,” jelasnya.

Saham Axiata meningkat sembilan sen atau 2.4 peratus kepada RM3.81 pada waktu tengahari, memberikan nilai permodalan pasarannya RM34.95 bilion.

Manakala, RHB turut mencatat peningkatan sebanyak 14 sen atau 2.6 peratus kepada RM5.44, menjadikan nilai pasarannya RM21.8 bilion. – UTUSAN ONLINE

Source: Utusan.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor