News & Articles Kerjaya Prospek beli tanah RM82 juta

Kerjaya Prospek beli tanah RM82 juta


21 Jun 2021
Kerjaya Prospek beli tanah RM82 juta
KUALA LUMPUR: Kerjaya Prospek Property Bhd membeli sebidang tanah pegangan pajakan di Selangor bernilai RM82 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Pixel Valley Sdn Bhd menandatangani perjanjian jual dan beli dengan Roset-BLG untuk tujuan pengambilalihan itu yang dijangka selesai pada Januari 2022.

Aktiviti prinsipal Roset-BLG adalah menyewakan hartanah dan ia anak syarikat milik penuh Better Living Grand Sdn Bhd yang seterusnya adalah anak syarikat milik penuh Ipmuda Bhd.

Kerjaya Prospek berkata, pengambilalihan itu akan membolehkan kumpulan berkenaan untuk menumpukan kepada perniagaan teras pembangunan hartanahnya dan menambah saiz simpanan tanah.

Terletak di Seksyen 13, Petaling Jaya, tanah itu digunakan sebagai simpanan tanah bagi aktiviti pembangunan hartanah Pixel Valley.


Tanah itu menempatkan lot perindustrian serta bangunan tambahan sokongan dengan keluasan kawasan lantai kasar keseluruhan kira-kira 15,524.75 meter persegi.

Pembelian itu akan dibiayai oleh penjanaan dana dalaman dan/atau pinjaman bank, manakala sebahagian daripada harga pembelian akan diselesaikan menerusi pemindahan hartanah.

Menurut Kerjaya Prospek, kegunaan sebenar tanah itu belum dapat ditentukan buat masa ini.

Katanya, cadangan pengambilalihan itu tidak akan memberi sebarang impak kepada modal saham terbitan dan pemegang saham syarikat.

Selain itu, langkah berkenaan dijangka tidak mewujudkan sebarang impak material ke atas aset bersihnya dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022.

Bagaimanapun, cadangan pembelian itu dijangka meningkatkan aset bersih kumpulan pada masa akan datang berikutan potensi sumbangan keuntungan masa depan yang terhasil daripada pembangunan tanah berkenaan.

Kerjaya Prospek berkata, impak cadangan pembelian itu terhadap tahap kadar hutang kumpulan akan bergantung kepada campuran pembiayaan akhir yang akan digunakan.

-BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor