News & Articles RM2.89 bilion untuk perlindungan alam sekitar
RM2.89 bilion untuk perlindungan alam sekitar
24 Jun 2021
PUTRAJAYA: Laporan Perbelanjaan Perlindungan Alam Sekitar 2020 menunjukan pemain industri di negara ini pada 2019 membelanjakan sejumlah RM2.89 bilion bagi perlindungan alam sekitar, tujuh peratus lebih tinggi berbanding sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi itu sebahagian besarnya dipacu oleh perbelanjaan modal pada kadar pertumbuhan dua angka iaitu 18 peratus.
Bagi perbelanjaan operasi ia mencatat pertumbuhan sederhana dengan hanya tiga peratus pada 2019.
"Tinjauan ini menunjukkan penyumbang terbesar adalah perbelanjaan operasi iaitu 70.3 peratus manakala 29.7 peratus pula bagi perbelanjaan modal.
"Perbelanjaan bagi perlindungan alam sekitar kini sudah meningkat sebanyak 28.6 peratus sejak 2014. Selain itu pengurusan pencemaran mendominasi perbelanjaan perlindungan alam sekitar melebihi RM2,021.2 juta atau 70.1 peratus. Ini diikuti oleh pengurusan sisa, RM751.7 juta (26.1 peratus) dan penilaian serta caj alam sekitar, RM64.9 juta (2.3peratus)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sektor pembuatan kekal mendominasi perbelanjaan perlindungan alam sekitar pada 2019 iaitu dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM2,181.3 juta atau 75.6 peratus.
"Perbelanjaan dalam sektor perkhidmatan adalah sebanyak RM413.8 juta atau 14.3 peratus dan sektor pembinaan ialah RM161.2 juta (5.6 peratus). Di peringkat negeri, Johor mencatatkan perbelanjaan perlindungan alam sekitar tertinggi iaitu RM678.5 juta.
"Ia diikuti Selangor (RM543.5 juta) dan Kuala Lumpur (RM292.6 juta). Tiga negeri ini menyumbang kepada 52.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Uzir turut mengingatkan masyarakat untuk bersama bekerjasama menjayakan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) sedang dilaksanakan di seluruh negara sehingga 30 Jun ini.
Bancian boleh diadakan secara dalam talian di portal rasmi Banci Malaysia 2020 di www.mycensus.gov.my atau media sosial @MyCensus2020 untuk maklumat lanjut.