News & Articles Sidang khas Parlimen dicadang sebelum 1 Ogos

Sidang khas Parlimen dicadang sebelum 1 Ogos


30 Jun 2021
Sidang khas Parlimen dicadang sebelum 1 Ogos
KUALA LUMPUR: Persidangan khas Parlimen dicadang diadakan sebelum 1 Ogos ini mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan bersama memaklumkan, perkara itu sudah dicadangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, semalam.

"Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan titah pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini.

"Kedua-dua Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat serta Timbalan Yang Dipertua kedua-dua dewan menjunjung titah baginda dan menyatakan komitmen serta kesediaan penuh Parlimen Malaysia mengadakan persidangan seperti dititahkan," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, titah Yang di-Pertuan Agong sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri.

"Adalah dicadangkan kepada Perdana Menteri supaya satu persidangan khas diadakan sebelum 1 Ogos mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Pelbagai pihak sebelum ini menyuarakan kritikan dan gesaan supaya Parlimen kembali bersidang, bagi menjamin keutuhan demokrasi yang menjadi teras kedaulatan sistem pentadbiran di Malaysia.

Parlimen tidak bersidang susulan Al-Sultan Abdullah pada 11 Januari lalu memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak COVID-19.

Bagaimanapun, baginda pada 24 Februari lalu bertitah Parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Muhyiddin ketika menyampaikan perutusan Pelan Pemulihan Negara pada 15 Jun lalu pula menyatakan sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober dengan mengikut SOP ditetapkan.

Namun, Al-Sultan Abdullah selepas mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan pelan pemulihan negara dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli Dewan Rakyat.

Kali terakhir Dewan Rakyat bersidang ialah selama 29 hari hingga 17 Disember tahun lalu. Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 ketika itu meluluskan 10 Rang Undang-Undang (RUU) termasuk RUU Perbekalan 2021.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor