News & Articles Haily tumpu pembinaan bangunan di Johor

Haily tumpu pembinaan bangunan di Johor


5 Jul 2021
Haily tumpu pembinaan bangunan di Johor
KUALA LUMPUR: Haily Group Bhd (Haily), yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 21 Julai ini, akan mengukuhkan kehadirannya dalam pembinaan bangunan di Johor dengan memanfaatkan rekod prestasinya selama 13 tahun sejak ia ditubuhkan.

Berpangkalan di Johor, syarikat pembinaan itu menyelesaikan kira-kira 65 projek pembinaan bangunan dengan nilai kontrak RM1.29 bilion sejak 2008.

Pengasas dan Pengarah Eksekutifnya, See Tin Hai, berkata Haily akan terus memberi tumpuan dalam kecekapan terasnya membabitkan pembinaan bangunan dengan memperluaskan perniagaan dari daerah Johor Bahru dan Kulai ke daerah lain di Johor.

Beliau berkata, terdapat trend pengembangan dalam sektor kediaman dan bukan kediaman di daerah lain di Johor, sekali gus menyediakan peluang pertumbuhan kepada syarikatnya.

Katanya, setakat 10 Jun 2021, Haily mempunyai 18 projek pembinaan bangunan yang sedang berjalan dan dua projek pembinaan berkaitan kejuruteraan awam.

"Jumlah nilai kontrak yang diperoleh dan nilai kontrak belum dibilkan ketika ini masing-masing bernilai RM460.04 juta dan RM249.58 juta. Projek yang sedang berjalan dijangka disiapkan secara progresif antara 2021 dan 2023.

"Menuju ke depan, strategi dan pelan perniagaan kami ialah untuk mengekalkan pertumbuhan perniagaan dan mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham kami," katanya kepada BH dalam temu bual menerusi e-mel.

Mengenai impak pandemik COVID-19 terhadap perniagaan Haily, Tin Hai berkata, pelaksanaan sekatan pergerakan bagi membendung penularan pandemik di negara ini sememangnya memberi kesan kepada perniagaannya.

Namun, beliau berkata, pihaknya tidak melihat pandemik itu mempunyai impak terhadap prospek jangka panjangnya di Malaysia kerana ekonomi negara ini dijangka pulih secara beransur-ansur dengan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat serta disokong pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi.

Tambahan lagi, katanya, Haily terus memperoleh enam kontrak baharu pada 2021, yang mana ia merangkumi tiga projek pembinaan bangunan kediaman dan tiga projek pembinaan bangunan bukan kediaman.

Haily pada dasarnya adalah kontraktor utama yang terbabit dalam pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman di wilayah selatan Semenanjung, khususnya Johor, dan juga terbabit dalam penyediaan sewa mesin pembinaan.

Sebagai kontraktor Gred 7 yang berdaftar dengan CIDB, syarikat pembinaan itu boleh membida dan melaksanakan semua saiz projek pembinaan tanpa mengira nilai kontrak.

Antara pelanggan Haily ialah anak syarikat tersenarai seperti kumpulan syarikat Mah Sing, kumpulan syarikat IOI, kumpulan syarikat IJM dan syarikat swasta seperti Country View Resources Sdn Bhd dan AME Development Sdn Bhd.

Tawaran awam permulaan (IPO) Haily membabitkan 30 juta saham terbitan awam pada harga 68 sen sesaham, dengan 8.92 juta ditawarkan kepada orang ramai; 10 juta kepada pengarah dan pekerja yang layak serta individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan dan 11.08 juta lagi kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian.

Sebagai tambahan, akan ada tawaran untuk dijual oleh promoter yang membabitkan 18 juta saham biasa sedia ada Haily menerusi penempatan persendirian oleh pelabur terpilih.

Syarikat pembinaan itu menyasarkan untuk meraih RM20.4 juta daripada rancangan penyenaraiannya itu, yang mana RM4.2 juta (20.59 peratus) akan digunakan untuk perbelanjaan modal, RM6 juta (29.41 peratus) bagi modal kerja, RM7 juta (34.31 peratus) membayar balik pinjaman bank dan baki RM3.2 juta (15.69 peratus) untuk perbelanjaan penyenaraian.

Ia juga bercadang untuk membeli jentera dan peralatan pembinaan tambahan terutamanya bagi memudahkan penjadualan kerja pembinaannya dengan lebih baik apabila projek berkenaan memerlukan penggunaan serentak dan jangkaan pertumbuhan masa depan.

Pada tahun kewangan 2020, pendapatan dan keuntungan kasar Haily masing-masing meningkat 5.20 peratus dan 19.82 peratus kepada RM166.13 juta dan RM27.48 juta berbanding tahun kewangan 2019 dengan sumbangan daripada segmen pembinaan bangunan, terutama membabitkan pembinaan bangunan kediaman yang mencatatkan peningkatan 53.78 peratus dalam keuntungan kasar.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor