News & Articles LBS adaptasi konsep pemasaran digital
LBS adaptasi konsep pemasaran digital
5 Aug 2021
Kuala Lumpur: LBS Bina Group Bhd (LBS) meraih jualan hartanah sebanyak RM684 juta setakat 31 Julai tahun ini, selain jangkaan tempahan bernilai RM651 juta.
Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Hock San berkata, pemaju hartanah tempatan itu berada di landasan yang tepat untuk memenuhi sasaran jualan disokong pelancaran 16 projek yang membawa nilai anggaran kasar berjumlah RM2.1 bilion.
"Dari sudut pemasaran, kami mengadaptasi konsep pemasaran digital sejajar dengan keperluan semasa. Kami berharap untuk terus konsisten di dalam membalas jasa baik pemegang saham di masa hadapan seiring dengan perkembangan LBS," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, pemegang saham LBS meluluskan pembayaran dividen peringkat pertama dan akhir sebanyak 1.45 sen untuk saham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.
Kelulusan pembayaran dividen menjadi antara 12 resolusi yang diluluskan pemegang saham LBS pada Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-21 (AGM) yang diadakan kali pertama secara maya, kelmarin.
"Dividen berjumlah kira-kira RM22.6 juta akan dibayar pada 22 September 2021 kepada pemegang saham seperti yang tersenarai di dalam Rekod Pendeposit pada 27 Ogos 2021," katanya.
Mengulas mengenainya, Hock San berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan serta hasil positif AGM.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada pemegang saham atas kepercayaan dan sokongan mereka selama ini. Mereka kekal setia bersama kami dalam mengharungi masa-masa mencabar yang dialami berikutan penularan pandemik ini.
"Kami tetap fokus untuk memastikan agar LBS memberikan prestasi yang terbaik untuk pertengahan tahun ini," katanya.