News & Articles Projek bina Hikmah Exchange bakal siap pertengahan tahun 2022

Projek bina Hikmah Exchange bakal siap pertengahan tahun 2022


5 Aug 2021
Projek bina Hikmah Exchange bakal siap pertengahan tahun 2022
KUCHING: Impian untuk menyaksikan projek pembangunan Hikmah Exchange berdiri megah di kawasan segitiga di Jalan Haji Taha di sini, bakal terlaksana apabila bangunan komersial itu siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2022.

Kerja-kerja projek pembinaan

bangunan komersial di tapak seluas 1.489 hektar (3.68 ekar) itu lancar dan siap pada pertengahan tahun 2022.

Malah, kerja-kerja di tapak pembinaan itu mendapat perhatian daripada Pengerusi Eksekutif Permodalan Satok Berhad (PSB), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain yang menzahirkan rasa puas hati terhadap projek tersebut ketika mengadakan lawatan, baru-baru ini.

Turut sama mengiringi beliau ialah,

Pengarah Eksekutif PSB, Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengurus Besar PSB, Hafisz Rachman, para kontraktor, pasukan projek dan penyewa pejabat Hikmah Exchange.

Beliau meluangkan masa lebih dua jam melawat serta meninjau perkembangan pembinaan bangunan yang menjadi ikon pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Selepas lawatan itu, Abdul Aziz dan Dr Muhammad kemudian menyampaikan taklimat kepada mereka yang hadir termasuk penyewa-penyewa pejabat Hikmah Exchange.

Hikmah Exchange itu memiliki dua menara berkembar dan sebuah lagi pusat bangunan menempatkan pusat persidangan yang boleh memuatkan 1,500 orang pada satu-satu masa.

Apabila siap nanti, dewan persidangan itu bukan sahaja untuk penganjuran perhimpunan bertaraf antarabangsa dan mesyuarat malah turut dibuka untuk majlis perkahwinan.

Satu daripada dua menara setinggi 22 tingkat itu hampir siap manakala dewannya secara fizikal telah siap dan hanya memerlukan kerja-kerja dalaman.

Bangunan pintar yang berkonsepkan senibina Melayu Islam moden itu dibina di kawasan segi tiga seluas 1.489 hektar (3.68 ekar) dengan kos bernilai RM350 juta dimajukan oleh PSB.

PSB adalah Real Estate Investment, anak syarikat kepada Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak (YHBS) yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 pada 28 September 2010.

Ironinya, Hikmah Exchange itu untuk melindungi aset dan hartanah Bumiputera khususnya di kawasan Satok, menghidupkan kembali kerancakan ekonomi di kawasan Bumiputera dan mengekalkan serta memelihara sejarah penempatan awal masyarakat Melayu.

Dengan adanya konsep Islam moden yang dibawa oleh PSB ini, mampu menarik pelabur dan menggalakkan pegangan saham menerusi penerbitan Real Estate Investment Trust (REITs) pada masa akan datang.

Menerusi REITs itu juga, akan memberi peluang kepada pelabur Bumiputera untuk menyertai dan menjadi sebahagian daripada pelaburan hartanah, meningkatkan pegangan saham dalam hartanah di sekitar kawasan Satok terutama dalam kalangan Bumiputera dan mewujudkan aliran pendapatan tetap dan konsisten kepada pelabur.

Pemegang taruh projek Hikmah Exchange ialah Harakah Islamiah (Hikmah), Majlis Agama Islam Sarawak (MAIS), Faradel Development Sdn. Bhd., Pelita Holdings Sdn. Bhd. dan PSB. PSB merupakan 100 peratus hak milik Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak (YHBS).

Untuk rekod, peletakan batu asas Hikmah Exchange dilakukan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 7 April 2017.

Source: sarawakvoice.com

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor