News & Articles Eksport agrikomoditi naik lebih 60 peratus

Eksport agrikomoditi naik lebih 60 peratus


17 Aug 2021
Eksport agrikomoditi naik lebih 60 peratus
SERDANG: Nilai eksport produk agrikomoditi melonjak sebanyak 65 peratus kepada RM105 bilion bagi suku kedua 2021, berbanding hanya RM64 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata lonjakan itu membabitkan produk berasaskan sawit yang juga penyumbang terbesar.

Lonjakan itu, katanya, turut disumbangkan oleh peningkatan dicatatkan bagi produk getah, berasaskan kayu-kayan, eksport produk koko dan produk lada.

Beliau berkata, sasaran eksport sawit bernilai RM75 bilion tahun ini mampu dicapai susulan prestasi yang memberangsangkan, walaupun negara masih berdepan masalah kekurangan pekerja di ladang.

"Produk berasaskan sawit menyumbang 43 peratus daripada jumlah eksport barang agrikomoditi, iaitu peningkatan kepada RM46 bilion, berbanding RM33 bilion dicatat bagi tempoh sama, tahun sebelumnya.

"Namun, kuantiti eksportnya mencatatkan penurunan lima peratus kepada 11.5 juta tan," katanya pada sidang media selepas menyaksikan serahan sumbangan bernilai RM270,000 oleh Majlis Getah Malaysia (MRC) di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak lima unit laptop bernilai RM10,000; 2,500 unit pakaian pelindung diri (PPE) bernilai RM225,000 dan 5,000 unit topeng muka N95 berjumlah RM35,000 diserahkan bagi kegunaan petugas barisan hadapan.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Nurul Islam Mohamed Yusoff dan Pengarah PKRC MAEPS, Dr Sahabuddin Ibrahim.

Mengenai produk getah, Mohd Khairuddin berkata, ia menyumbang 42 peratus daripada keseluruhan nilai eksport barang agrikomoditi, iaitu peningkatan 150 peratus kepada RM44 bilion, berbanding RM17.77 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, lonjakan itu susulan pandemik COVID-19, menyebabkan nilai eksport produk berasaskan lateks seperti sarung tangan getah dan lain-lain melonjak sebanyak 200 peratus kepada RM37 bilion, berbanding RM12 bilion dalam tempoh sama, pada 2020.

"Sarung tangan getah kebanyakannya bagi kegunaan perubatan, mencatat pertumbuhan melebihi tiga kali ganda atau 210 peratus kepada RM37 bilion, berbanding RM12 bilion pada separuh pertama 2020.

"Malaysia juga muncul negara pengeluar terbesar dunia bagi sarung tangan getah apabila menguasai 65 peratus pasaran produk berkenaan," katanya.

Beliau berkata, produk berasaskan kayu-kayan pula menyumbang 11 peratus kepada eksport barang agrikomoditi, membabitkan peningkatan 21 peratus nilai eksportnya kepada RM12 bilion, berbanding RM10 bilion pada tempoh sama, tahun lalu.

"Eksport produk koko turut mencatatkan kenaikan tujuh peratus kepada RM3.4 bilion berbanding RM3.1 bilion, tahun sebelumnya.

"Senario ini turut membabitkan produk lada yang meningkat 19.24 peratus kepada RM62 juta berbanding RM52 juta pada tempoh sama 2020," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Beli rumah apabila tawaran harga berbaloi dengan keadaan kewangan - Pakar

  • Residential tenancy bill upholds neutral framework, does not discriminate - KPKT

  • Influx of MNCs boost Kuala Lumpur's office market competitiveness: Knight Frank

  • Tropicana mulakan pembangunan berbilion ringgit Lido Waterfront Boulevard di Johor

  • REHDA warns against restrictions on property purchases, citing potential harm to housing market