News & Articles SP Setia catat jualan kukuh RM2.71 bilion

SP Setia catat jualan kukuh RM2.71 bilion


19 Aug 2021
SP Setia catat jualan kukuh RM2.71 bilion
KUALA LUMPUR: SP Setia Bhd mencatatkan prestasi jualan yang sangat kukuh sebanyak RM2.71 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan 2021.

Projek tempatannya menyumbang RM2.074 bilion atau kira-kira 77 peratus jualan, sementara baki RM639 juta atau 23 peratus disumbangkan projek antarabangsa dari Daintree Residence di Singapura.

Kumpulan hartanah itu mencatatkan pendapatan RM2.14 bilion dan keuntungan RM301.4 juta dalam tempoh dikaji didorong oleh pengiktirafan pendapatan progresif dari kadar ambilan kukuh dan jualan inventori siap yang tinggi sebanyak RM425 juta, meningkat 137 peratus berbanding RM179 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

SP Setia dalam satu kenyataan berkata, di peringkat tempatan, jualan disumbangkan oleh wilayah tengah sebanyak RM1.636 bilion, diikuti sumbangan dari wilayah selatan sebanyak RM296 juta sementara RM142 juta lagi dari wilayah lain.

Ia juga berkata, inventori siap bernilai RM425 juta juga habis sepanjang enam bulan itu.

"Hasil yang dicapai pada separuh pertama tahun ini sebahagian besarnya disebabkan oleh prestasi penjualan yang kukuh untuk lima bulan pertama tahun kewangan ini yang disokong oleh sentimen pasaran tempatan yang umumnya optimis awal tahun ini.

"Bagaimanapun, bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP) pada Jun 2021 telah memperlahankan penukaran tempahan menjadi penjualan yang disahkan.

"Walaupun begitu, kami gembira melihat tempahan yang diterima setakat 30 Jun berjumlah RM954 juta," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Khor Chap Jen.

Mengenai prospek tahun kewangan semasa, Chap Jen berkata, pemaju hartanah terkemuka itu kekal positif terhadap tinjauan pasaran dan akan terus memberi tumpuan untuk mencapai sasaran jualannya sebanyak RM3.80 bilion.

Beliau berkata, pihaknya kekal optimis tetapi berhati-hati didorong oleh permintaan meningkat mendadak yang kukuh daripada pembeli rumah.

Katanya, SP Setia menjangkakan ekonomi secara umum dan terutama sektor hartanah akan pulih beransur-ansur dalam suku tahunan mendatang susulan pelaksanaan program vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok dan langkah prosedur operasi standard (SOP) ketat untuk membendung pandemik.

Setakat 30 Jun 2021, kumpulan hartanah itu mempunyai 47 projek yang sedang berjalan, dengan baki simpanan tanah seluas 2,993 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM125.1 bilion dan jumlah jualan belum dibilkan sebanyak RM10.30 bilion, yang akan menyokong kumpulan dua tahun akan datang.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor