News & Articles UEM Sunrise perbaiki prestasi kewangan

UEM Sunrise perbaiki prestasi kewangan


26 Aug 2021
UEM Sunrise perbaiki prestasi kewangan
KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd mencatatkan kerugian sebanyak RM7.37 juta untuk suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2021 berbanding kerugian berjumlah RM94.66 juta direkodkan pada suku yang sama tahun lalu.

Pendapatan melonjak kepada RM249.14 juta daripada RM111.96 juta yang dicatatkan sebelumnya, kata UEM Sunrise dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

UEM Sunrise dalam satu kenyataan berkata, perolehan syarikat itu meningkat sebanyak RM502 juta pada enam bulan pertama 2021 berbanding RM308 juta pada tempoh sama sebelumnya.

"Prestasi ini didorong oleh kemajuan pembinaan dan pengebilan yang lebih tinggi terutama daripada Residensi Solaris Parq di Dutamas, Aspira ParkHomes di Gerbang Nusajaya, Serene Heights di Bangi dan jualan Estuari Gardens di Pelabuhan Puteri yang lebih tinggi.

"Seiring dengan pendapatan, syarikat mencatatkan keuntungan operasi RM41 juta berbanding kerugian RM38 juta pada tempoh yang sama tahun lalu," katanya.

Syarikat itu berkata, jualan hartanah meningkat dengan ketara kepada RM707 juta dalam tempoh semasa berbanding RM151 juta pada tempoh yang sama tahun lalu berikutan lonjakan momentum positif pada separuh kedua tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah, berkata pelaksanaan langkah-langkah pencegahan bagi membendung COVID-19 baru-baru ini mungkin akan memberi kesan terhadap prestasi jualan kerana galeri jualan ditutup pada suku sebelumnya.

"Kami tidak dapat membina unit pameran untuk melancarkan projek hartanah terbaharu kami iaitu KAIA Heights, sebuah pembangunan kediaman bertingkat tinggi dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM655 juta di Equine Park, Selangor.

"Bagaimanapun, kami beruntung kerana usaha digitalisasi berkesan. Insentif yang ditawarkan di bawah program jualan kami seperti perkongsian dengan program HouzKEY Maybank Islamic dan Kempen Pemilikan Rumah juga membantu prestasi jualan UEM Sunrise dan kami akan terus memanfaatkannya," katanya.

-BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Beli rumah apabila tawaran harga berbaloi dengan keadaan kewangan - Pakar

  • Residential tenancy bill upholds neutral framework, does not discriminate - KPKT

  • Influx of MNCs boost Kuala Lumpur's office market competitiveness: Knight Frank

  • Tropicana mulakan pembangunan berbilion ringgit Lido Waterfront Boulevard di Johor

  • REHDA warns against restrictions on property purchases, citing potential harm to housing market