News & Articles Program 'PKNS Plus Mesti Beli' sasar jualan RM24 juta

Program 'PKNS Plus Mesti Beli' sasar jualan RM24 juta


27 Aug 2021
Program 'PKNS Plus Mesti Beli' sasar jualan RM24 juta
SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan meraih RM24 juta nilai jualan hartanah melalui program 'PKNS Plus Mesti Beli' yang menampilkan pelbagai pilihan produk hartanah dengan harga menarik.

Ketua Pegawai Operasi PKNS, Suhaimi Kasdon, berkata, dengan menyasarkan 27 unit hartanah, sejumlah tujuh projek dengan pelbagai pakej menarik ditawarkan kepada pelanggan pada harga bermula RM400,000 sehingga lebih RM1 juta seunit.

Tujuh projek itu terletak di lokasi menarik iaitu di Bernam Jaya atau Rafflesia; Kota Puteri atau Puteri Daffina X; Antara Gapi; Selangor Cyber Valley atau Residensi Aurora dan Alam Nusantara atau Kehijauan Enklaf.

Beliau berkata, penganjuran program itu adalah bersempena ulang tahun PKNS ke-57 dan sambutan Bulan Kebangsaan 2021 dengan menawarkan pakej menarik seperti yuran guaman dan duti setem percuma serta barangan rumah pintar sehingga RM15,000 untuk projek terpilih.

"PKNS menawarkan kediaman yang siap diduduki dengan pelbagai pilihan dan pakej menarik serta merupakan pelaburan jangka panjang yang menguntungkan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Suhaimi berkata, PKNS juga menyediakan medium terbaharu untuk para pelanggan iaitu Online Experience, pautan yang memberi kemudahan untuk mengakses maklumat berkenaan hartanah PKNS.

"Pautan akan diberikan kepada pelanggan pada hari program iaitu 28 dan 29 Ogos ini yang mana pelanggan akan memperoleh maklumat seperti harga projek, pelan lantai, pelan tapak dan peta akses," katanya.

Beliau berkata, program itu akan dijalankan secara hibrid iaitu digital dan konvensional, manakala penjualan adalah secara dalam talian, melalui talian PKNS X Line dan media sosial, PKNS Property.

Suhaimi berkata setakat tujuh bulan pertama tahun ini, PKNS telah mencapai nilai jualan RM564 juta melebihi nilai sasaran tahunan iaitu RM510.5 juta.

"Walaupun pandemik yang bermula tahun lalu telah menjejaskan sedikit penjualan hartanah, namun pada 2021, kita telah membuat penyesuaian semula dengan merangka strategi jualan yang lebih teratur dan tersusun dan yakin pada akhir tahun ini mampu mencatatkan lebih banyak jumlah jualan," katanya.

Beliau berkata, pada 2019, PKNS mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM1.08 bilion, manakala RM731 juta pada 2020.

Katanya, pihaknya masih memiliki simpanan tanah kira-kira 2,000 hektar, kebanyakannya di kawasan Bernam Jaya.

-BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Beli rumah apabila tawaran harga berbaloi dengan keadaan kewangan - Pakar

  • Residential tenancy bill upholds neutral framework, does not discriminate - KPKT

  • Influx of MNCs boost Kuala Lumpur's office market competitiveness: Knight Frank

  • Tropicana mulakan pembangunan berbilion ringgit Lido Waterfront Boulevard di Johor

  • REHDA warns against restrictions on property purchases, citing potential harm to housing market