News & Articles Pemulih kurangkan tekanan pemilik hartanah: MIEA

Pemulih kurangkan tekanan pemilik hartanah: MIEA


1 Sep 2021
Pemulih kurangkan tekanan pemilik hartanah: MIEA
MORATORIUM pinjaman yang diperkenalkan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), yang berkuat kuasa dari Julai hingga Disember 2021 - telah membantu mengurangkan tekanan kewangan pemilik hartanah.

Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Chan Ai Cheng berkata, walaupun sebagai langkah sementara, moratorium ternyata membantu menstabilkan pasaran hartanah sekunder.

Beliau berkata, MIEA merancang untuk mengemukakan cadangan berhubung pelan tindakan mengenai pemulihan sektor hartanah kepada Kementerian Kewangan.

“Kami telah menubuhkan Pasukan Petugas Pemulihan Hartanah untuk meneliti perkara ini,” katanya pada pembentangan secara maya mengenai ‘Kajian Sentimen Profesional Hartanah mengenai Prestasi Pasaran Hartanah Malaysia - Gambaran Keseluruhan pada Separuh Pertama 2021 dan Prospek pada Separuh Kedua 2021’ hari ini.

Sementara itu, Ai Cheng berkata, persekitaran kadar faedah yang rendah pada masa ini dilihat menjadi faktor utama yang mempengaruhi prestasi pasaran hartanah kediaman.

Walaupun Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dilihat menjadi strategi penting untuk memacu prestasi pasaran hartanah kediaman, kajian itu menunjukkan bahawa ia hanya disenaraikan sebagai faktor keempat paling penting.

“Ini berdasarkan hakikat bahawa HOC terhad kepada pasaran hartanah utama dan tidak memberi manfaat kepada keseluruhan pasaran hartanah kediaman,” katanya.

Selain itu, pemulihan daripada pandemik Covid-19 dipercayai menjadi faktor penting yang akan mempengaruhi prestasi pasaran hartanah komersial dan industri pada separuh kedua 2021.

“Pandemik terus memberi impak kepada perusahaan kecil dan sederhana serta mikro dan apabila perniagaan terjejas, hartanah komersial turut terjejas,” katanya.

Ai Cheng berkata, responden kajian tersebut tidak begitu optimis mengenai pemulihan pasaran hartanah sekunder pada separuh kedua 2021; ramai percaya bahawa ia memerlukan masa untuk pasaran pulih.

MIEA adalah badan nasional yang mewakili pengamal hartanah di Malaysia. - Bernama

Source: Sinarharian.com.my

Latest Posts
  • Beli rumah apabila tawaran harga berbaloi dengan keadaan kewangan - Pakar

  • Residential tenancy bill upholds neutral framework, does not discriminate - KPKT

  • Influx of MNCs boost Kuala Lumpur's office market competitiveness: Knight Frank

  • Tropicana mulakan pembangunan berbilion ringgit Lido Waterfront Boulevard di Johor

  • REHDA warns against restrictions on property purchases, citing potential harm to housing market