News & Articles Pembangunan Taman Rimba Kiara: DBKL dibenar buat rayuan

Pembangunan Taman Rimba Kiara: DBKL dibenar buat rayuan


2 Sep 2021
Pembangunan Taman Rimba Kiara: DBKL dibenar buat rayuan
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak lain meneruskan rayuan mereka untuk mengembalikan rancangan membangunkan Taman Rimba Kiara.

Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed membenarkan permohonan DBKL dan pemaju untuk merayu selepas mendengar penghujahan peguam B Thangaraj yang mewakili Datuk Bandar dan Gopal Sri Ram mewakili pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd serta Cecil Abraham untuk Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Beliau turut mendengar penghujahan peguam Gurdial Singh Nijar yang mewakili penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

“Keputusan kami sebulat suara. Dengan mengambil kira fakta kes ini, kami bersetuju dengan pemohon (DBKL, YWP dan Memang Perkasa) yang isu berkaitan locus standi, kesan Pelan Struktur KL, tanggungjawab untuk memberi alasan dan konflik kepentingan adalah persoalan undang-undang yang penting.”

Azahar berkata, pendengaran penuh untuk menyuarakan isu itu dan keputusan seterusnya oleh mahkamah tertinggi akan memanfaatkan orang ramai.

Hakim lain yang bersidang bersama Azahar adalah Zaleha Yusof dan Rhodzariah Bujang.

Awal tahun ini, penduduk TTDI berjaya membatalkan perintah pembangunan yang dikeluarkan Datuk Bandar pada 13 Julai 2017.

Cadangan pembangunan itu ialah untuk membina blok pangsapuri 29 tingkat dengan 350 unit rumah mampu milik serta lapan tingkat kemudahan parkir.

Projek itu akan dilaksanakan pemaju hartanah Memang Perkasa dan YWP, yayasan yang dipengerusikan menteri Wilayah Persekutuan.

Pada 27 Jan lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk memihak kepada penduduk TTDI dalam semakan kehakiman mereka atas alasan terdapat “kesalahan boleh dirayu yang menuntut campur tangan”.

Keputusan itu mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi pada 28 Nov 2018 untuk menolak permohonan penduduk.

Terkilan dengan keputusan Mahkamah Rayuan, DBKL, YWP dan Memang Perkasa memohon kebenaran untuk merayu kepada mahkamah tertinggi itu.

Source: msn.com

Latest Posts
  • Beli rumah apabila tawaran harga berbaloi dengan keadaan kewangan - Pakar

  • Residential tenancy bill upholds neutral framework, does not discriminate - KPKT

  • Influx of MNCs boost Kuala Lumpur's office market competitiveness: Knight Frank

  • Tropicana mulakan pembangunan berbilion ringgit Lido Waterfront Boulevard di Johor

  • REHDA warns against restrictions on property purchases, citing potential harm to housing market