News & Articles NetX cadang beli Sungei Wang Plaza RM20

NetX cadang beli Sungei Wang Plaza RM20


6 Sep 2021
NetX cadang beli Sungei Wang Plaza RM20
KUALA LUMPUR: NetX Holdings Bhd bercadang untuk membeli keseluruhan pegangan dalam Sungei Wang Plaza Sdn Bhd (SWP) dan Sungei Wang Holdings Sdn Bhd (SWH) pada RM20.

SWP dan SWH, yang terbabit dalam aktiviti hartanah dan pegangan pelaburan, memiliki hartanah yang berada di lokasi strategik di Plaza Sungei Wang.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, NetX menjelaskan pihaknya telah menandatangani perjanjian penjualan saham (SSA) dengan Sungei Wang Group Sdn Bhd bagi cadangan pembelian 1,000 saham biasa dan 9.8 juta saham keutamaan tidak boleh tebus boleh tukar dalam SWP, mewakili 100 peratus pegangan dalam SWP, pada RM10.

Menurut NetX, ia juga memeterai satu lagi SSA dengan Tan Peng Koon dan Chew Hui Khuan bagi cadangan pembelian 60,002 saham biasa dalam SWH yang mewakili 100 peratus pegangan dalam SWH, serta 23.34 juta saham biasa baharu yang akan diterbitkan oleh SWH kepada Tan, pada RM10.

Mengenai pembayaran RM10 bagi cadangan pembelian SWP dan RM10 untuk cadangan pembelian ke atas SWH, NetX memaklumkan ia dicapai berasaskan jual beli suka rela selepas mengambil kira bahawa dua unit runcit di Plaza Sungei Wang yang dimiliki SWP bernilai RM2.9 juta dan empat unit runcit di lokasi yang sama milik SWH bernilai RM29.9 juta.

Mengikut surat penyelesaian hutang bertarikh 19 Mei 2021 yang dikeluarkan AmBank Islamic Bhd (AmBank), Mahkamah Tinggi telah memberi penghakiman, yang menjadi satu keputusan positif bagi AmBank, dengan SWP perlu membayar jumlah yang diputuskan mahkamah kepada AmBank iaitu sebanyak RM38.2 juta setakat 30 April 2020 berserta caj lewat bayar yang terus terakru.

Berkaitan kewajaran pembelian itu, NetX menjelaskan untuk jangka sederhana dan panjang, hartanah itu mempunyai potensi kukuh bagi peningkatan modal memandangkan lokasi strategik Plaza Sungei Wang serta pembabitan Capital Land Malaysia Mall Trust sebagai pemilik terbesar ruang runcit di Plaza Sungei Wang, yang telah menaik taraf kawasan sepunya di plaza itu.

"Jika dilaksanakan dalam tempoh sehingga pasaran hartanah bertambah baik, keuntungan modal daripada hartanah akan memberi pulangan yang baik ke atas pelaburan bagi NetX.

"Selain itu, cadangan pembelian tersebut akan memberi satu sumber pendapatan berulang iaitu pendapatan sewa kepada NetX," jelasnya.

Menurut NetX apabila cadangan pembelian itu selesai, yang dijangka pada suku keempat 2021, SWP dan SWH akan menjadi anak syarikat milik penuh NetX. – Bernama

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor