News & Articles Perbankan antara sektor raih untung tinggi tahun ini

Perbankan antara sektor raih untung tinggi tahun ini


13 Sep 2021
Perbankan antara sektor raih untung tinggi tahun ini
KUALA LUMPUR: Tiga sektor iaitu perbankan, sarung tangan dan perladangan merekodkan keuntungan ke paras tertinggi baharu bagi tempoh separuh pertama 2021.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, pendapatan teras bank melonjak 27 peratus tahun ke tahun, firma sarung tangan meraih keuntungan 10 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu dan perladangan pula menokok dua kali ganda disokong harga minyak sawit mentah 64 peratus lebih tinggi.

Penganalisis Maybank IB Research, Anand Pathmakanthan, berkata prestasi kaunter perbankan, sarung tangan dan perladangan menjangkaui unjuran bagi tempoh separuh pertama tahun ini.

"Untuk setahun penuh 2021, kami menjangkakan sektor perbankan meraih pendapatan teras sebanyak RM27.7 bilion, manakala sarung tangan RM15.7 bilion dan perladangan RM5.2 bilion.

"Prospek tahun depan pula bercampur dengan pendapatan teras bank dijangka terus melonjak kepada RM31.3 bilion, manakala sarung tangan dan perladangan merosot masing-masing kepada RM8.5 bilion dan RM4.2 bilion," katanya dalam satu nota.

Pathmakanthan berkata, ketidakpastian politik dijangka memberi kesan kepada prestasi korporat pada suku ketiga, namun dengan perkembangan yang semakin mereda disokong pendapatan korporat yang berdaya tahan dan kadar vaksinasi yang tinggi, ia dijangka memberi impak lebih baik pada suku terakhir 2021.

"Pengukuhan dalam sektor pembuatan dan komoditi yang dipacu eksport serta daya tarikan kelas aset berbanding bon serta deposit akan menyokong prestasi lebih baik pada suku keempat.

"Berdasarkan penilaian menarik terutama dalam nilai serta sektor kitaran serta kecairan institusi domestik, akan memberi sokongan kepada indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada sasaran 1,720 mata menjelang akhir tahun ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Ekuiti Serantau RHB Investment Bank Bhd, Alexander Chia berkata sektor penjagaan kesihatan dan perladangan mencatat perolehan yang mengatasi jangkaan.

Katanya, hal ini diimbangi oleh lapan sektor yang merekodkan perolehan lemah iaitu automotif, REIT, minyak & gas, pengangkutan, pembinaan, hartanah, bahan asas dan pengguna.

"Meskipun anggaran perolehan teras dikurangkan sebanyak 2.8 peratus dan 2.2 peratus untuk tahun kewangan 2021 dan 2022, kami ambil maklum bahawa kebanyakan pengurangan itu datang daripada sektor sarung tangan susulan semakan menurun dalam purata harga jualan (ASP) sarung tangan.

"Kecuali saham sarung tangan, semakan unjuran keseluruhan dinaikkan sebanyak 0.4 peratus dan 0.2 peratus bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 berikutan pelarasan positif bagi sektor perladangan, minyak & gas serta sektor perbankan," katanya.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Tan: "Don't limit housing purchases"

  • S P Setia lancar Anggun Villa III di Bandar Kinrara, Puchong

  • Neoh: Adopt proactive strategies to preserve long-term value of high-rise properties

  • Pulau Pinang siap bina 170,000 rumah mampu milik

  • Beli rumah apabila tawaran harga berbaloi dengan keadaan kewangan - Pakar