News & Articles Sultan Johor kecewa kementerian dalam negeri enggan semak skim warga asing beli hartanah, tinggal di M'sia
Sultan Johor kecewa kementerian dalam negeri enggan semak skim warga asing beli hartanah, tinggal di M'sia
20 Sep 2021
JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar hari ini (17 Sep) menzahirkan kekecewaan terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana enggan menyemak semula semula syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang ditetapkan baru-baru ini.
Program MM2H yang diperkenalkan pada 2002 merupakan skim visa jangka panjang untuk warga asing membeli hartanah dan tinggal di Malaysia. Ia dihentikan buat sementara waktu pada Ogos 2020, tertakluk kepada semakan semula oleh KDN dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Sultan Ibrahim menulis dalam satu catatan di Facebook bahawa beliau akan membangkitkan perkara itu kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob secara peribadi dalam tempoh terdekat.
Ini memandangkan Johor merupakan antara destinasi popular MM2H selain program itu turut menyumbang kepada pendapatan negeri.
Menurut beliau, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin sebelum ini berkata bahawa kerajaan akan menyemak semula syarat ketat program terbabit.
“Bagaimanapun, apa yang kita dengar di Parlimen hanyalah janji untuk mempertimbangkan permohonan peserta MM2H berdasarkan kes demi kes yang mana (perkara) ini adalah di luar jangkaan dan sesuatu yang mengecewakan.
“Sekiranya keselamatan adalah justifikasi utama untuk kriteria baru, maka pihak kementerian (KDN) hanya perlu membatalkan visa pemegang pas MM2H yang didapati melakukan kesalahan dan bukannya melibatkan semua peserta,” tulis Sultan Johor itu.
Tambahnya, keputusan berkenaan hanya akan membawa implikasi negatif memandangkan program MM2H sebelum ini memberi kesan positif kepada ekonomi negara.
“MM2H merupakan satu program yang memberi kesan baik kepada ekonomi negara termasuk rakyat dan kerajaan. Oleh itu, jika kita mengenakan syarat ketat hingga memberi kesan kepada peserta, dikhuatiri kelak akan menjejaskan imej negara di mata dunia.
“Justeru, saya berharap agar perkara ini akan mendapat perhatian dan pertimbangan daripada kerajaan tanpa membuat keputusan drastik terhadap program ini,” tegas beliau.