News & Articles Sime Darby Property buka semula galeri jualan
Sime Darby Property buka semula galeri jualan
21 Sep 2021
KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd membuka semula galeri jualannya dan meneruskan operasi di semua tapak projek sesuai dengan pelonggaran sekatan pergerakan oleh kerajaan baru-baru ini.
Pemaju hartanah itu berkata, ia akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) untuk menyokong Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai standard minimum di semua galeri jualannya dan tapak projek untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja dan pengunjung.
Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican, berkata syarikat gembira mengalu-alukan pengunjung kembali ke galeri jualan dan menyediakan pengalaman pembelian yang lebih peribadi kepada bakal pembeli rumah serta pemahaman lebih baik mengenai produk inovatif dan kemudahan perbandaran mampan.
Beliau berkata, sasaran syarikat itu adalah untuk selalu mengatasi cabaran kegiatan yang terkesan pandemik seperti menjual rumah, yang secara tradisinya bermula dengan individu mengunjungi galeri jualan.
Katanya, sejak tahun lalu, Sime Darby Property meningkatkan keupayaan penjualan dan pemasaran secara dalam talian dengan membangunkan inovasi dalaman seperti sistem tempahan dalam talian dan galeri jualan maya.
"Ini membolehkan syarikat menyediakan calon pembeli rumah pengalaman dalam talian untuk terus melihat dan membeli rumah dalam tempoh pandemik," katanya dalam satu kenyataan.
Di galeri jualan, Sime Darby Property berkata, bakal pembeli rumah akan dibantu oleh wakil jualannya yang telah menerima vaksin sepenuhnya dengan dilengkapi peralatan pelindung diri (PPE).
Ia berkata, galeri jualan akan dibersihkan secara kerap, dengan tempat sentuhan biasa dibersihkan sebaik saja selepas setiap pelanggan mengunjungi, manakala galeri jualan juga akan menjalani pembersihan menyeluruh setiap minggu.
Sime Darby Property berkata, orang ramai yang ingin mengunjungi galeri jualan digalakkan untuk membuat janji temu sebelum lawatan mereka kerana hanya individu terhad dibenarkan masuk ke galeri pada satu-satu masa.