News & Articles Vizione dapat projek bina Residensi Prihatin di Putrajaya
Vizione dapat projek bina Residensi Prihatin di Putrajaya
24 Sep 2021
KUALA LUMPUR: Kumpulan kejuruteraan pembinaan bersepadu, Vizione Holdings Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Vizione Builder Sdn Bhd memperoleh projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM500 juta bagi membina 2,500 unit apartmen mampu milik yang dikenali sebagai 'Residensi Prihatin' di Putrajaya.
Bagi tujuan ini, perjanjian pembangunan dimeterai dengan Pan Sejati Development (M) Sdn Bhd untuk membangunkan dan melaksanakan projek tersebut bersama dengan semua perkhidmatan infrastruktur, kemudahan bersama, hartanah bersama dan jambatan penghubung di tanah seluas 7.27 hektar yang didaftarkan di bawah Perbadanan Putrajaya.
"Kami yakin pembangunan Residensi Prihatin akan terjual dengan baik memandangkan lokasinya yang strategik di Presint 7, Putrajaya, iaitu kawasan kediaman dan komersial yang sudah dikenali.
"Projek ini terletak dalam jarak berjalan kaki ke stesen MRT Putrajaya Sentral di bawah MRT Putrajaya Line atau MRT 2, yang kini dalam pembinaan dan dijadualkan untuk beroperasi pada awal 2023," kata Pengarah Urusan Vizione, Datuk Ng Aun Hooi dalam satu kenyataan.
Jika tidak berlaku sebarang keadaan di luar jangka, projek ini akan dimulakan pada awal tahun depan bagi tempoh tiga tahun.