News & Articles Projek Matrix Concepts dapat sambutan positif

Projek Matrix Concepts dapat sambutan positif


27 Sep 2021
Projek Matrix Concepts dapat sambutan positif
KUALA LUMPUR: Fasa pertama projek pembangunan Bayu Sutera yang dimajukan Matrix Concepts Holdings Bhd merekodkan 95 peratus tempahan dalam tempoh dua minggu.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Lim Kok Yee, berkata meskipun dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsang dan ketidakstabilan pasaran, syarikat tetap menerima kadar tempahan tinggi bagi hartanah terbaharunya di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan itu.

"Dilancarkan pada Ogos 2021, pelancaran fasa pertama Bayu Sutera mencatatkan kadar pengambilan luar biasa dalam tempoh dua minggu.

"Sejumlah 308 unit daripada 325 rumah dua tingkat Celyn @ Bayu Sutera telah ditempah dan hampir semua unit sudut akhir habis ditempah dalam minggu pertama," katanya dalam satu kenyataan.

Kok Yee berkata, kediaman jenis Celyn @ Bayu Sutera ditawarkan daripada RM529,000 ke atas dan berdasarkan data, 61 peratus pembeli rumah berasal dari Kuala Lumpur dan Selangor.

"Sejumlah 26 peratus adalah penduduk Negeri Sembilan sementara selebihnya dari negeri lain. Ini bererti permintaan rumah kami masih tinggi walaupun pasaran hartanah secara keseluruhan masih lembap.

"Berbeza pendapat dengan yang lain, sekarang sebenarnya adalah masa yang terbaik untuk membeli rumah impian anda.

"Secara logiknya, pasaran hartanah masih melalui proses penstabilan dan pembeli mempunyai kelebihan untuk membeli hartanah, baik rumah baharu atau rumah sekunder," katanya.

Beliau berkata, konsep kehidupan sihat yang diperkayakan dengan keindahan alam semula jadi menjadi fokus dalam pelan utama Bayu Sutera yang memasarkan kediaman keluarga pelbagai generasi.

Katanya, ciri utama projek Bayu Sutera adalah taman unggul yang dinamakan Breezeway bersaiz 3.84 hektar, di mana lokasinya adalah hampir sejajar dengan laluan angin pantai barat Semenanjung Malaysia.

"Setiap presint mempunyai taman dan landskap tersendiri lengkap dengan taman permainan kanak-kanak, gelanggang badminton serta peralatan kecergasan dan senaman luaran.

"Dari segi keselamatan, semua sembilan presint disediakan pagar sempadan yang tinggi dan pondok pengawal," katanya.

Kok Yee berkata, terdapat empat jenis susun atur dengan binaan luas bermula dari 2,142 kaki persegi hingga 2,478 kaki persegi yang sesuai untuk keluarga dan isi rumah pelbagai generasi.

"Ruang yang cukup besar ini memastikan keselesaan bagi pemilik kediaman selain privasi yang sangat diperlukan terutama sekali masa kini yang berlandaskan norma baharu bekerja dari rumah," katanya.

Projek dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion yang dimajukan di atas tanah berkeluasan 87.4 hektar itu, menawarkan komponen 2,043 unit rumah teres dua tingkat pegangan bebas di sembilan presint.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Mah Sing buys Johor land from S P Setia for RM157mil

  • Pasaran rumah stabil sepanjang 2024

  • Sunway Property unveils Serene Villas project

  • MVV City bandar pintar di Seremban, GDV diunjur cecah RM15 bilion

  • New assessment rate for Ipoh to be announced on Dec 26 : Mayor