News & Articles Malaysia Airlines tawar tiket serendah RM59

Malaysia Airlines tawar tiket serendah RM59


11 Oct 2021
Malaysia Airlines tawar tiket serendah RM59
Kuala Lumpur: Malaysia Airlines menawarkan tiket penerbangan serendah RM59 sehala serta diskaun sehingga 50 peratus bagi pakej MHholiday sempena dengan kebenaran rentas negeri yang diberikan kerajaan bermula esok.

Pelanggan dapat menikmati tambang Economy Lite dari hanya RM59 semua dalam satu ke semua destinasi di Semenanjung Malaysia dan tambang menarik ke Sarawak dan Sabah juga masing-masing berharga dari RM109 dan RM159.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Kapten Izham Ismail berkata, kebenaran rentas negeri itu akan memberi dorongan hebat kepada perniagaan dan meningkatkan kembali sosio-ekonomi negara.

Beliau berkata, pihaknya juga melihat tempahan tiket penerbangan semakin memberangsangkan, mencerminkan keyakinan pelanggan dan permintaan yang tinggi untuk perjalanan.

"Malaysia Airlines juga merekodkan peningkatan lebih daripada 500 peratus tempahan sejak pembukaan semula gelembung pelancongan di Langkawi.

"Selain itu, cabang operasi pelancongan kami, MHholidays, juga menunjukkan trend menaik dengan pakej percutian terjual lebih 100 peratus daripada sasaran kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Izham berkata, tawaran istimewa itu juga merangkumi elaun bagasi kabin tujuh kilogram (kg), makanan ringan, makanan dan minuman percuma serta hiburan dalam penerbangan.

Katanya, tawaran itu sah untuk tempahan bermula 10 Oktober sehingga 31 Oktober 2021 untuk perjalanan segera sehingga 21 April 2022.

Selain itu, pelanggan juga boleh memilih tambang Economy Flex untuk menikmati faedah perjalanan premium, termasuk penukaran tarikh tanpa had percuma, pengembalian wang secara percuma tanpa bayaran, fleksibiliti Go Show, keutamaan daftar masuk dan elaun bagasi daftar masuk sebanyak 35 kg.

Menurutnya, cabang operasi pelancongannya, Mhholidays turut memberikan tawaran sehingga 50 peratus dengan Kempen Breakfree Deals pada pakej penerbangan dan hotel untuk percutian di seluruh negara bermula RM249.

"Dari sudut keselamatan pula, kesemua anak kapal sudah mendapat vaksin lengkap dan Malaysia Airlines turut diberi penarafan tujuh bintang untuk langkah kesihatan dan keselamatan Covid-19 dari AirlineRatings," katanya.

Source: Hmetro.com.my

Latest Posts
  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia

  • Analysts positive on Mah Sing's new Old Klang Road land acquisition

  • Tan: "Don't limit housing purchases"

  • S P Setia lancar Anggun Villa III di Bandar Kinrara, Puchong

  • Neoh: Adopt proactive strategies to preserve long-term value of high-rise properties