News & Articles Fasa 2 Projek Battersea akan dibuka tahun hadapan

Fasa 2 Projek Battersea akan dibuka tahun hadapan


18 Oct 2021
Fasa 2 Projek Battersea akan dibuka tahun hadapan
KUALA LUMPUR: Fasa kedua projek pembangunan Battersea Power Station akan dibuka kepada umum tahun hadapan, kata Battersea Power Station Development Company Ltd (BPSDC).

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, fasa itu akan menempatkan lebih 100 kedai, restoran dan kafe, venue acara dengan kapasiti 1,400 orang, lift unik yang menawarkan pemandangan panaroma 360 darjah kota London, ruang pejabat baharu dan 254 apartmen kediaman baharu.

Projek itu menerima kunjungan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang menyaksikan transformasi projek penjanaan semula milik Malaysia itu menjadi kejiranan yang baharu dan dinamik dengan rangkaian pengangkutan awam bersepadu penuh.

Ka Siong berkata projek Battersea Power Station adalah contoh keupayaan syarikat Malaysia untuk mencipta dan menambah nilai tempat-tempat yang berada di luar Malaysia, malahan memulihkan kembali stesen penjanaan yang telah lama terbiar selama berdekad-dekad selain juga menjadikannya sebagai satu pelaburan bernilai.

"Sebagai sebahagian daripada acara kunjungan itu, kami juga dibawa melihat sistem penyepaduan projek itu kepada rangkaian pengangkutan awam yang sangat mengagumkan, yang kita boleh contohi untuk dilaksanakan di tanah air kita bagi membantu meningkatkan akses dan nilai kepada pemegang kepentingan utama kita," katanya.


Ka Siong diiringi oleh Wakil Perdagangan United Kingdom (UK) ke Malaysia Richard Graham dan diraikan oleh Pengerusi Battersea Project Holding Company (BPHC) Datuk Jagan Sabapathy serta Ketua Pegawai Eksekutif BPSDC Simon Murphy.

BPSDC berkata pelaburan oleh pemegang saham dari Malaysia iaitu Sime Darby Property Bhd (SDP), SP Setia Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memainkan peranan penting dalam menyediakan prasarana pengangkutan awam baharu yang amat diperlukan yang bakal memberi manfaat kepada komuniti, penduduk serta perniagaan tempatan dan berjuta-juta pengunjung dijangka mengunjunginya sebaik sahaja ia dibuka kelak.

"Jalur pengangkutan yang dipertingkat, yang terdiri daripada stesen Tube baharu, perkhidmatan bas sungai, perkhidmatan bas dan basikal, bukan sahaja memanfaat akses di bahagian London ini tetapi juga menyediakan peluang peningkatan sosioekonomi bagi komuniti," katanya.

Sementara itu, Graham berkata: "Ia satu perjalanan yang panjang bagi pelabur Malaysia dan pasukan Battersea Power Station tetapi kini semuanya telah menjadi satu realiti dan kita boleh jangkakan ia bakal menjadi destinasi urban baharu paling menarik di Eropah.

"Pembukaan besar-besaran pada 2022 akan menjadi satu detik berharga bagi UK dan Malaysia untuk diraikan bersama-sama. Harapan saya adalah kita boleh mewujudkan perkongsian yang berjaya seperti ini bagi projek-projek di Malaysia," katanya.

Battersea Power Station dibangunkan oleh konsortium yang dianggotai SDP, SP Setia Bhd dan KWSP manakala pengurusan pembangunan dikendalikan oleh BPSDC.

– Bernama

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia

  • Analysts positive on Mah Sing's new Old Klang Road land acquisition

  • Tan: "Don't limit housing purchases"

  • S P Setia lancar Anggun Villa III di Bandar Kinrara, Puchong

  • Neoh: Adopt proactive strategies to preserve long-term value of high-rise properties