News & Articles CIDB mahu peruntukan perkasa teknologi pembinaan

CIDB mahu peruntukan perkasa teknologi pembinaan


20 Oct 2021
CIDB mahu peruntukan perkasa teknologi pembinaan
KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan bagi program yang meningkatkan penggunaan teknologi sektor pembinaan dalam Belanjawan 2022.

Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ahmad 'Asri Abdul Hamid, berkata terdapat beberapa program utama yang dirangka CIDB untuk dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), termasuk Program Kecemerlangan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang membabitkan pembinaan Hab IBS di tujuh negeri di Malaysia.

Menurutnya, hab ini adalah untuk dijadikan sebagai pusat sehenti bagi rujukan industri pembinaan yang dilengkapi segala maklumat, kemudahan prasarana dan teknologi terkini berkaitan IBS, memperkasakan jaringan ekosistem IBS di Malaysia dan memangkin kaedah pembinaan IBS menggunakan sistem terbuka dan komponen IBS yang standard.

"Selain itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan jumlah penggiat industri IBS terutama dalam kalangan Bumiputera serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), di samping menjimatkan kos untuk pembangunan projek rumah mampu milik," katanya kepada Bernama.

Ahmad 'Asri berkata, peruntukan juga diperlukan untuk Program Transformasi Construction 4.0 yang membabitkan antaranya, pembinaan Pusat Kecemerlangan Pembinaan 4.0 (CR 4.0), penyediaan pusat latihan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penggiat industri dalam CR 4.0 dan menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan aplikasi teknologi serta persekitaran perniagaan CR4.0.

"Program Transformasi Construction 4.0 ini adalah selaras dengan hala tuju kerajaan dalam memacu pelaksanaan ekonomi digital dan revolusi industri 4.0 dalam sektor pembinaan," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua program ini dijangka dilaksanakan dalam tempoh empat tahun bermula 2022.

"Selain program kecemerlangan IBS dan Teknologi Construction 4.0, peruntukan juga diperlukan untuk program latihan kemahiran dalam bidang pembinaan yang berimpak tinggi seperti kimpalan, operasi kren, pemasangan perancah serta pendawaian elektrik.

"Di samping itu, ia juga diperlukan untuk melaksanakan latihan yang berkaitan dengan pengurusan serta penyeliaan keselamatan di tapak binaan yang mana latihan seumpama itu adalah kritikal bagi meningkatkan kualiti dan keselamatan kerja pembinaan," katanya.

Belanjawan 2022 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sebelum ini Tengku Zafrul berkata Belanjawan 2022 akan kekal bercirikan pengembangan dan berkonsepkan sebagai belanjawan pemulihan untuk menyokong usaha pembaharuan kerajaan yang lebih meluas dan berjangka panjang di bawah RMK-12.

-BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia

  • Analysts positive on Mah Sing's new Old Klang Road land acquisition

  • Tan: "Don't limit housing purchases"

  • S P Setia lancar Anggun Villa III di Bandar Kinrara, Puchong

  • Neoh: Adopt proactive strategies to preserve long-term value of high-rise properties