News & Articles Gamuda beli tanah di Binh Duong, Vietnam

Gamuda beli tanah di Binh Duong, Vietnam


21 Oct 2021
Gamuda beli tanah di Binh Duong, Vietnam
KUALA LUMPUR: Gamuda Land HCMC Joint Stock Company (GL HCMC JSC), anak syarikat asing milik penuh Gamuda Bhd di Vietnam, kini dalam proses pembelian sebidang tanah di Binh Duong New City (UG5.6) dalam usaha memacu pengembangannya di negara itu.

Tanah UG5.6 bernilai kira-kira RM228.5 juta itu adalah sebahagian daripada bandar bersepadu seluas 1,052 hektar yang bakal dibangunkan sebagai pusat pentadbiran negara itu di wilayah Binh Duong.

"Pembelian tanah di Binh Duong itu adalah seiring dengan penekanan Gamuda terhadap portfolio membabitkan projek-projek antarabangsa yang menyumbang sebanyak dua pertiga daripada jualan hartanah bagi tahun kewangan 2021.

"Strategi berkenaan membantu syarikat mengharungi prospek ekonomi yang mencabar pada suku-suku baharu dengan menyediakan hasil yang stabil dalam persekitran kelemahan sentimen serta ketidaktentuan mata wang dalam pasaran domestik," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin.

Gamuda turut menyifatkan Vietnam sebagai menarik untuk kalangan pemaju antarabangsa berikutan faktor seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang konsisten sebanyak enam hingga tujuh peratus sejak beberapa tahun lalu, unjuran bilangan penduduknya melebihi 104 juta orang menjelang 2030, pulangan tinggi bagi pelaburan hartanah serta harga tanah yang berpatutan selain pengenalan peraturan pemilikan asing yang kondusif pada 2015.

Syarikat GL HCMC JSC sudah mengemukakan cadangan bagi membangunkan sebanyak 349 unit hartanah bertanah bagi pasaran tempatan.

"Tanah itu terletak di Le Hoan Street iaitu di tengah-tengah Binh Duong New City dan berhampiran dengan pembangunan World Trade Centre.

"Oleh itu, projek pembangunan di tanah UG5.6 itu bercirikan aspek yang dipacu oleh pasaran, seiring dengan demografi kediaman dan komersial dengan gabungan jenis kediaman bandar dan rumah kedai yang membolehkan pemilik menjalankan perniagaan di premis masing-masing," katanya.

Pembelian tanah di Binh Duong yang membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM495 juta, dijangka turut menyumbang kepada pendapatan Kumpulan Gamuda dan pembeliannya akan ditampung menerusi dana yang dikumpul secara dalaman.

Tanpa mengambil kira keadaan di luar jangka, pembelian itu diunjur selesai menjelang suku ketiga 2022.

-BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia

  • Analysts positive on Mah Sing's new Old Klang Road land acquisition

  • Tan: "Don't limit housing purchases"

  • S P Setia lancar Anggun Villa III di Bandar Kinrara, Puchong

  • Neoh: Adopt proactive strategies to preserve long-term value of high-rise properties