News & Articles Gagasan Nadi, unit KWSP bangun rumah mampu milik

Gagasan Nadi, unit KWSP bangun rumah mampu milik


25 Oct 2021
Gagasan Nadi, unit KWSP bangun rumah mampu milik
KUALA LUMPUR: Gagasan Nadi Cergas Bhd (Gagasan Nadi) bekerjasama dengan unit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membangunkan projek perumahan mampu milik di Petaling, Selangor, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) yang dianggarkan sebanyak RM1 bilion.

Penyedia perkhidmatan pembinaan itu berkata, ia menerima surat penganugerahan daripada Kwasa Development (13) Sdn Bhd (KD13) untuk menjadi rakan kongsi pembangunan bagi projek berkenaan di atas dua bidang tanah seluas 15.83 hektar.

KD13 adalah anak syarikat milik penuh Kwasa Land Sdn Bhd, yang seterusnya menjadi milik penuh KWSP.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Gagasan Nadi berkata cadangan pembangunan, dengan anggaran nilai pembinaan RM750 juta, akan terdiri daripada sekitar 3,990 unit kediaman mampu milik.

Sebagai pertimbangan hak pembangunan, Gagasan Nadi akan membayar kepada KD13 sebanyak RM40 juta bagi melaksanakan projek itu di perbandaran Kwasa Damansara.

Ia berkata, pembangunan yang dicadangkan, yang bersebelahan dengan stesen MRT Kwasa Damansara, akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan pada masa depan.

Perjanjian hak pembangunan akan dimeterai di antara Gagasan Nadi dan KD13 pada waktu yang sesuai, tambahnya.

-BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia

  • Analysts positive on Mah Sing's new Old Klang Road land acquisition

  • Tan: "Don't limit housing purchases"

  • S P Setia lancar Anggun Villa III di Bandar Kinrara, Puchong

  • Neoh: Adopt proactive strategies to preserve long-term value of high-rise properties