Aset Kayamas serah kunci Residensi Desa Satumas
KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Aset Kayamas Sdn Bhd menyerahkan kunci rumah kepada 1,346 pemilik projek apartmen Residensi Desa Satumas di bawah program Residensi Wilayah Keluarga Malaysia (RWKM) di Taman Desa pada Jumaat lalu.
Penyerahan kunci disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Shahidan dalam ucapan perasmiannya berkata, program RWKM bertujuan untuk merealisasikan impian warga Kuala Lumpur memiliki kediaman sendiri pada harga mampu milik, terutama sekali bagi pembeli golongan berpendapatan sederhana rendah, M40.
Beliau berkata, Residensi Desa Satumas dibina di atas tanah berkeluasan 1.45 hektar dan menawarkan tiga blok bangunan berketinggian 43 tingkat terdiri daripada 1,346 unit kediaman pada harga RM230,000 seunit.
Katanya, setiap unit mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dengan keluasan 850 kaki persegi dan satu petak tempat letak kereta berbumbung.
"Residensi Desa Satumas juga menawarkan pelbagai kemudahan untuk penduduk seperti kolam renang, ruang taska, tempat rekreasi dan bilik permainan, ruang kedai, dewan serbaguna dan surau.
"Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini, penduduk dapat menjalankan aktiviti bersama keluarga dan juga jiran tetangga di dalam kawasan Residensi Desa Satumas sendiri dengan harmoni.
"Hartanah ini Satumas juga terletak di lokasi dan kedudukan yang strategik dan mempunyai akses mudah dengan beberapa lebuh raya dan jalan utama ke tempat-tempat seperti Mid Valley Megamall, Bangsar, Kuala Lumpur dan Damansara. Ini memudahkan penduduk untuk manjalankan urusan kerja serta memenuhi keperluan harian mereka," katanya.
Shahidan berkata, Aset Kayamas sudah siap membina dan menyerah kunci kepada pembeli 10,975 unit RWKM dan terbaharu sekali adalah Residensi Razakmas 2 yang diserah kunci pada Mac 2021.
"Saya dimaklumkan bahawa Residensi Desa Satumas ini adalah projek RWKM Malaysia yang ke-15 berjaya disiapkan oleh Aset Kayamas.
"Kerajaan menyambut baik dan amat berterima kasih kerana pihak pemaju berjaya menyediakan rumah mampu milik RWKM ini.
"Oleh itu, saya amatlah menghargai komitmen dan dedikasi pemaju dalam usahasama menjayakan program ini dan membantu merealisasikan aspirasi kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik kepada warga kota khususnya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Shahidan berkata, sebanyak 62,701 unit rumah RWKM yang membabitkan 100 projek sudah mendapat kelulusan untuk pembinaan di Wilayah Persekutuan hingga 30 September lalu.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 93 projek dilaksanakan di ibu negara, tiga di Putrajaya manakala bakinya di Labuan.
"Daripada jumlah itu, 20,472 unit sudah siap membabitkan 19,360 unit di Kuala Lumpur dan 1,112 unit di Labuan.
"Sehingga kini, masih banyak unit rumah RWKM dibuka untuk jualan dan boleh dipohon melalui portal rasminya," katanya.
Kumpulan syarikat Aset Kayamas ditubuhkan pada 2011 dengan tumpuan utama untuk menyediakan rumah yang selesa berasaskan kualiti dan kemampuan.
Portfolionya termasuk projek pembangunan kediaman mewah seperti ParkHill di Bukit Jalil, The Henge di Kepong dan The Holmes di Bandar Tun Razak.
Source: Bharian.com.my