News & Articles KPKT laksana kajian analisis data raya perumahan

KPKT laksana kajian analisis data raya perumahan


26 Oct 2021
KPKT laksana kajian analisis data raya perumahan
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menjalankan Kajian Analisis Data Raya (BDA) Perumahan sejak Februari lalu, bagi mendapatkan gambaran sebenar kedudukan dan ketersediaan data berkaitan sektor perumahan di Malaysia.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, berkata kajian yang dijangka siap pada Mei 2022 itu akan menentukan hala tuju pembangunan sistem BDA yang merangkumi keperluan data, teknologi, proses, kemahiran serta kos yang diperlukan bagi menjayakan pembangunan sistem berkenaan.

"Kajian ini bertujuan membantu ke arah mengatasi hartanah siap yang tidak terjual dan seterusnya berupaya mengetahui kedudukan pasaran perumahan hartanah dengan lebih jelas dan tepat demi pembangunan sektor hartanah yang lestari dan efisien," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong mengenai sama ada KPKT mewujudkan satu pangkalan data bagi memantau pemilikan rumah untuk memastikan objektif kerajaan supaya rakyat memiliki rumah tercapai.

Ismail berkata, penemuan awal kajian menunjukkan data perumahan yang berkaitan dengan bekalan dan permintaan berada di pelbagai agensi dan jabatan negeri.

Justeru, beliau berkata, terdapat keperluan mewujudkan pusat repositori data untuk membolehkan pihak berkepentingan dalam industri perumahan menggunakan data yang sama ketika memberi input atau maklum balas antaranya berhubung bekalan dan permintaan perumahan serta kemampuan memiliki rumah.

Selain itu, Ismail berkata, KPKT juga sedang membangunkan aplikasi Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan atau (HIMS), platfom tunggal bagi pemaju perumahan merujuk Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Pelesenan) 1966 [Akta 118] dan peraturan-peraturan lain yang berkaitan.

Beliau berkata, HIMS akan menjadi mekanisme pengumpulan data perumahan untuk tujuan pengurusan, pemantauan dan pelaporan pemilikan rumah.

"Pembangunan aplikasi HIMS ini adalah di peringkat akhir pengujian sebelum dapat digunakan dan aplikasi HIMS dijangka dapat digunakan sepenuhnya pada suku kedua 2022. HIMS ini juga akan menjadi salah satu komponen dalam sistem BDA," katanya. – BERNAMA

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia

  • Analysts positive on Mah Sing's new Old Klang Road land acquisition

  • Tan: "Don't limit housing purchases"

  • S P Setia lancar Anggun Villa III di Bandar Kinrara, Puchong

  • Neoh: Adopt proactive strategies to preserve long-term value of high-rise properties