InvestPenang, HSBC sasar pelaburan berkualiti tinggi
GEORGE TOWN: InvestPenang dan HSBC Bank Malaysia Bhd (HSBC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha menarik masuk pelaburan langsung asing berkualiti tinggi ke Pulau Pinang dan Malaysia, sambil memanfaatkan kelebihan masing-masing.
Pengarah InvestPenang, Datuk Seri Lee Kah Choon yang amat mengalu-alukan kerjasama untuk memupuk iklim perniagaan yang aktif itu berkata pembentukan semula rantaian bekalan global dan kemajuan teknologi menggerakkan usaha dari segi penubuhan perniagaan.
"Rangkaian antarabangsa HSBC memberi peluang yang baik untuk kami meluaskan jangkauan.
"Dengan gabungan keupayaan kedua-dua pihak, saya yakin Pulau Pinang boleh melonjak dan berada pada kedudukan yang baik di arena global, sekali gus menguatkan hasrat syarikat multinasional (MNC) untuk menjadikan negeri ini destinasi pelaburan strategik mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian bagi pihak agensi utama kerajaan Pulau Pinang untuk promosi pelaburan, manakala HSBC Malaysia diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Stuart Milne.
Kah Choon berkata, syarikat korporat disaran untuk beralih daripada mengutamakan langkah-langkah penjimatan kos pembuatan dan bergerak ke arah amalan yang memastikan kebolehpercayaan, konsistensi dan kemampanan.
"Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui InvestPenang, terus komited untuk meningkatkan kelebihan dan daya saing Pulau Pinang agar kekal dalam senarai keutamaan bagi 'kepelbagaian jejak' korporat," katanya, yang juga penasihat pelaburan khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang.
Dengan lokasinya yang strategik di rantau ASEAN dan integrasi ketara dalam rantaian bekalan global, Kah Choon berkata Pulau Pinang adalah destinasi pelaburan pilihan bagi MNC.
Beliau berkata, perkongsian strategik awam-swasta ini bertujuan untuk meningkatkan usaha sedia ada negeri dalam menarik pelabur berkualiti tinggi, dengan menggunakan rangkaian antarabangsa HSBC yang menyediakan akses kepada lebih 90 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK), perdagangan dan aliran modal global serta pasaran utama di lebih 60 negara, sambil memanfaatkan inisiatif promosi pelaburan InvestPenang.
Sementara itu, Milne berkata menarik pelaburan berkualiti tinggi adalah penting untuk menyokong laluan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan berkongsi kemakmuran.
"Di HSBC, kami percaya Pulau Pinang adalah lokasi yang ideal untuk banyak syarikat multinasional melabur, mengambil kesempatan daripada ekosistemnya yang sangat mantap, rantaian bekalan tempatan yang mendalam dan bekalan kakitangan terlatih yang mencukupi," katanya.
Beliau berkata, MoU dengan InvestPenang memperbaharui komitmen yang telah lama HSBC di rantau ini, yang mana ia membuka cawangan pertama pada 1884.
"Rangkaian antarabangsa kami menghubungkan Pulau Pinang dengan dunia dan berharap dapat menggunakannya sebagai menyokong objektif Pulau Pinang untuk mempercepatkan pertumbuhan dan pembangunannya," ujar beliau.
-BERNAMA
Source: Bharian.com.my