News & Articles Insentif Bajet 2022 beri manfaat kepada M40

Insentif Bajet 2022 beri manfaat kepada M40


2 Nov 2021
Insentif Bajet 2022 beri manfaat kepada M40
KUALA LUMPUR: Terdapat pelbagai insentif yang disediakan dalam Bajet 2022 memberi manfaat kepada kumpulan M40, kata Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Datuk Johan Mahmood Merican.

Beliau berkata, antara insentif itu termasuk pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan, pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pemansuhan Cukai Keuntungan Harta Tanah untuk hartanah yang dilupuskan pada tahun keenam dan pelepasan cukai lain seperti ke atas pembelian komputer, telefon pintar dan tablet.

"Sebenarnya, pelbagai insentif dalam Bajet 2022 memberi manfaat kepada M40. Insentif seperti lanjutan pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang, pengurangan kadar caruman minimum KWSP, pelepasan khas cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pelancongan domestik antara yang memberi manfaat kepada M40," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas manfaat kepada kumpulan M40 dalam Bajet 2022 pada webinar 'Dialog Pasca Bajet 2022' anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA), semalam.

Mengenai pengenalan Cukai Makmur, Johan berkata, pelaksanaan cukai korporat yang bersifat sekali saja dilihat sesuai untuk menjana pendapatan tambahan kerajaan tanpa menjejaskan proses pemulihan ekonomi negara.

Beliau berkata, memandangkan negara dalam proses untuk keluar daripada krisis, pengenalan cukai sekali saja itu dilihat lebih sesuai berbanding memperkenalkan cukai baharu yang bersifat meluas untuk meningkatkan pendapatan.

Katanya, pengenalan cukai baharu yang lebih meluas di tengah-tengah pemulihan akan memberi risiko kepada proses pemulihan.

"Dengan kekangan fiskal yang kita hadapi, kerajaan perlu meningkatkan hasil untuk memastikan sekurang-kurangnya kita dapat memenuhi kewajipan, terutama dari segi perbelanjaan mengurus.

"Memandangkan kita akan keluar daripada krisis ini, kita perlu melakukan sesuatu dari segi cukai sekali saja dilaksanakan dalam tempoh tertentu untuk ekonomi pulih sepenuhnya, terutama bagi menampung beberapa permintaan tambahan terhadap perbelanjaan kerajaan dari segi bantuan tambahan atau permintaan tambahan terhadap sistem penjagaan kesihatan," katanya.

Johan berkata, secara rasminya, semua hasil Cukai Makmur yang diperoleh akan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

Beliau berkata, keperluan penggunaan hasil tambahan yang bersifat sekali saja itu adalah untuk memenuhi permintaan tambahan seperti bantuan kepada golongan miskin dan juga mengukuhkan sistem kesihatan negara.

Sementara itu, Pengerusi Tricor Malaysia, Dr Veerinderjeet Singh, berkata kerajaan boleh memberi pelepasan cukai individu sekali saja berbanding terus memberi pelepasan individu secara berterusan dalam membantu kumpulan M40.

Beliau berkata, pelepasan sekali saja antara RM3,000 hingga RM4,000 untuk tempoh dua tahun kepada M40 dilihat sesuai dan menepati kumpulan sasaran berbanding memberi pelepasan individu yang kadang-kadang tidak semua M40 layak menerima manfaat itu.

Mengenai cadangan meningkatkan pendapatan negara pada masa depan, Veerinderjeet berkata, kerajaan boleh memantapkan lagi pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) semasa dengan memperluaskannya bagi meliputi lebih banyak perkhidmatan menuju ke depan.

Source: Bharian.com.my

Latest Posts
  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia

  • Analysts positive on Mah Sing's new Old Klang Road land acquisition

  • Tan: "Don't limit housing purchases"

  • S P Setia lancar Anggun Villa III di Bandar Kinrara, Puchong

  • Neoh: Adopt proactive strategies to preserve long-term value of high-rise properties