News & Articles PM saksi 6 memorandum dimeterai dengan Indonesia

PM saksi 6 memorandum dimeterai dengan Indonesia


11 Nov 2021
PM saksi 6 memorandum dimeterai dengan Indonesia
PUTRAJAYA: Sebanyak enam memorandum berjaya dimeterai antara Malaysia dan Indonesia hari ini dalam pelbagai bidang kerjasama melibatkan kedua-dua negara berjiran itu.

Majlis pemeteraian dokumen berkenaan turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Hotel Ritz Carlton, Jakarta sempena lawatan rasmi beliau ke negara tersebut.

Antaranya ialah Memorandum Persefahaman (MoU) syarikat kejuruteraan teknologi tempatan, Destini Berhad dengan firma milik pemerintah Indonesia, PT Industri Kereta Api (PT Inka).

Ia ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif Destini, Datuk Rozabil Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif PT Inka, Budi Noviantoro dalam meneroka peluang luas sektor kereta api.

Pemeteraian yang kedua pula membabitkan memorandum perjanjian (MoA) antara pemaju hartanah terkenal, Country Height International Sdn. Bhd. dengan PT Pancakarya Malindo.

Syarikat itu diwakili Datuk Seri Teh Chee Teong manakala firma Indonesia oleh Erwin Azizi bagi usahasama pembangunan bersepadu dan potensi beberapa projek di republik tersebut.

Ismail Sabri turut menyaksikan penyerahan surat penganugerahan program Dana Penjana Nasional yang melibatkan Penjana Kapital Sdn. Bhd. dengan firma AC Ventures Capital Fund.

Pengerusi Lembaga Pengarah Penjana Kapital, Datuk Shahrul Nazri Abdul Rahim telah pun menyerahkan surat pelantikan tersebut kepada Pengasas Rakan AC Ventures, Pandu Sjahrir.

Program berkenaan antara usaha kerajaan merapatkan pertumbuhan jurang modal teroka dan mencipta suasana baik untuk syarikat pemula mengembangkan potensi ke tahap global.

MoU yang terakhir pula dimeterai antara agensi rasmi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Perusahaan Lembaga Umum Kantor Berita Nasional Indonesia (Antara).

Ia ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Mokhtar Hussain dan Presiden Pengarah Antara, Meidyatama Suryodiningrat dalam kerjasama pertukaran berita tempatan.

Perdana Menteri yang dalam lawatan julung kali ke negara jiran tersebut turut menyaksikan pemeteraian dua MoU kerajaan-ke-kerajaan (G2G) di Istana Bogor, Wilayah Jawa Barat.

Memorandum itu yang juga disaksikan Presiden Indonesia, Joko Widodo antara lainnya ialah Kerjasama Bidang Pendidikan termasuk pertukaran pelajar dan tenaga pengajar dua negara.

Malaysia dan Indonesia turut akan memudah cara akses kepada pendidikan serta penyelidikan dan penerbitan ilmiah selain pelaksanaan pelbagai program antara institusi pendidikan terpilih.

Turut disaksikan kedua-dua pemimpin berkenaan ialah pemeteraian MoU Kerjasama Perkastaman meliputi pertukaran maklumat, amalan terbaik dan kepakaran antara agensi kastam kedua-dua pihak. -UTUSAN ONLINE

Source: Utusan.com.my

Latest Posts
  • RHB Research positive on Kerjaya Prospek citing robust job flow pipeline

  • Kerjaya Prospek, Aspen Vision bangun tanah 33.52 hektar di Pulau Pinang

  • Matrix Concepts dinobat antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia

  • Analysts positive on Mah Sing's new Old Klang Road land acquisition

  • Tan: "Don't limit housing purchases"